Felda nafi peneroka berisiko hilang hak ke atas tanah

Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyebut tanah peneroka boleh dipindah milik, dijadikan gadaian dan sewaan, tetapi hanya nama 2 orang boleh didaftarkan dalam sesuatu hak milik.

KUALA LUMPUR: Felda hari ini menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang antara lain mendakwa peneroka tanah rancangan berkenaan berisiko kehilangan hak ke atas tanah mereka, sambil menyifatkan dapatan dalam artikel berkenaan tidak tepat.

Ketua Unit Pewarisan, Jabatan Pengurusan Tanah Felda, Mohd Yassin Mohd Yusof berkata, kajian yang hanya membabitkan 130 responden di Felda Bukit Tangga, Kedah itu tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini memandangkan jumlah peneroka di seluruh negara adalah seramai 112,635 orang, manakala jumlah keseluruhan warga Felda termasuk generasi baru dalam lingkungan 2.5 juta, katanya.

“Sehubungan itu, kajian ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk memperkenalkan apa-apa dasar baru yang akan merugikan semua pihak dalam institusi ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khamis lalu, akhbar berbahasa Melayu itu yang memetik kajian pensyarah kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Rohayu Abdul Majid mendakwa wujud sekatan perundangan yang menghalang sebarang pindah milik tanah terbabit kepada generasi kedua.

Menurut Rohayu seperti dilapor akhbar berkenaan, ini berlaku kerana tanah rancangan Felda tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok 1967, menyebabkan statusnya berbeza dengan tanah biasa di bawah Kanun Tanah Negara.

Mohd Yassin menjelaskan Felda bersama-sama peneroka dan pejabat tanah negeri sentiasa bekerjasama sejak awal seperti termaktub dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dalam menangani isu pewarisan dan pemilikan tanah secara holistik.

Tegasnya, pengkaji sepatutnya merujuk kepada pengurusan ibu pejabat Felda bagi memahami isi kandungan akta tersebut terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan yang boleh mengundang polemik dalam kalangan warga Felda berhubung isu pewarisan tanah.

Katanya, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan tanah peneroka boleh dipindah milik, dijadikan gadaian dan sewaan, tetapi hanya nama 2 orang boleh didaftarkan dalam sesuatu hak milik supaya tanah tidak dibelah bahagi secara fizikal seterusnya merugikan dari segi ekonomi.

Beliau berkata, akta berkenaan juga menyatakan tanah peneroka tidak boleh dipecah sempadan, dipajak dan sub-pajak sebahagian atau keseluruhannya.

Menjelaskan mengenai halangan jual beli tanah, Mohd Yassin berkata, Felda tidak membenarkan urusan berkenaan kerana wujud syarat tertentu, dan pemiliknya mesti dipastikan seorang warganegara, berusia 18 tahun ke atas, tidak memiliki tanah pertanian melebihi 0.80 hektar (2 ekar) dan tanah rumah satu lot.

Katanya, tanah peneroka juga boleh diambil balik kerajaan, antara lain bagi pembangunan bandar baru, lebuh raya dan projek Laluan Rel Pantai Timur di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 dengan bayaran pampasan akan dibuat kepada penama didaftar sebagai pentadbir tanah atau setiap waris yang berhak.