Ketua Umno bahagian sanggah gerakan bawa balik Zahid

JOHOR BAHRU: Gerakan untuk membawa balik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengambil semula tugas sebagai presiden Umno bukan sesuatu yang baik untuk parti itu, yang baharu sahaja bangkit dan bergerak ke depan.

Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang berkata, perlu diingat antara sebab berlaku desakan supaya Zahid bercuti disebabkan tiadanya hala tuju jelas semasa beliau menjadi presiden sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian ahli Parlimen dan ketua-ketua bahagian.

Umno dijangka terus lemah jika Zahid tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu, kata Maulizan dalam kenyataan hari ini.

“Umno dilihat stabil dan mula mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu bawah kepimpinan Mohamad Hasan yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat,” tambah Maulizan.

Beliau akui belum semua penyokong Umno balik menyokong parti itu kerana masih ada golongan yang menganggap parti itu belum benar-benar berubah kerana masih mendokong pemimpin yang dituduh dengan pelbagai tuduhan salahguna kuasa dan rasuah.

Namun begitu, bukan juga mudah mewujudkan persepsi Umno sebenarnya sudah berubah kerana sikap acah-acah bekas timbalan perdana menteri itu, yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Umno juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan yang mahukan pemimpin Umno yang mempunyai persepsi positif di mata mereka seperti latarbelakang yang meyakinkan, sejarah kepimpinan yang tidak terlalu dilihat mengamalkan kronism, tidak dilihat mengamalkan politik wang dan lain-lain.

“Kepada mereka ini, Umno sepatutnya harus terus diberi nafas baru dan Zahid bukanlah orangnya.

“Lepaskanlah Umno ini kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi beracah-acah untuk kembali,” tambah Maulizan.