Laporan: 5 negara bida kontrak bekal pesawat tempur bernilai RM36 bilion kepada TUDM

Menurut laporan akhbar Straits Times Singapura, Malaysia akan membuat keputusan tentang pembelian pesawat tempur baru untuk TUDM dalam ‘beberapa bulan ini’.

PETALING JAYA: Politik mungkin menjadi faktor penentu dalam perjanjian membekalkan pesawat tempur ringan bernilai RM36 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut laporan media Singapura.

Dipercayai pesawat yang ditawarkan adalah F-50 daripada Industri Aeroangkasa Korea, Korea Selatan, Tejas buatan Hindustan Aeronautics (India), YAK-130 oleh Irkut Aerospace (Rusia), JF-17 Thunder (Pakistan) dan Alenia Aermacchi M-34 Master (Itali).

Menurut akhbar Straits Times (ST) Singapura, eksekutif industri pertahanan percaya pegawai tertinggi TUDM berminat dengan jet FA-50 Korea Selatan, tetapi pengkritik menganggap pesawat satu tempat duduk itu tidak sesuai kerana ia tidak mempunyai kemampuan pengisian minyak di udara.

Keputusan dijangka dibuat dalam beberapa bulan ini, kata laporan itu.

Ia berkata, cadangan pembelian 30 pesawat tempur ringan itu akan menjadi satu cabaran dasar kerana pembekal yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan lepas kini berdepan saingan daripada pembekal baru.

Persaingan untuk memenangi kontrak berkenaan berlaku dalam kalangan ejen tempatan pengeluar dan merupakan “entiti persendirian tidak dikenali dengan pemegang sahamnya yang mempunyai rangkaian yang kuat bersembunyi di sebalik proksi perniagaan bagi melindungi penglibatan mereka”, kata laporan itu.

ST memetik eksekutif industri pertahanan yang tidak dinamakan sebagai berkata, bahawa FA-50 diwakili oleh entiti persendirian tidak dikenali Kemalak Systems, Tejas oleh Forte Drus, JF-17 oleh Kharisma Wira, YAK-130 oleh Sovereign Strategic yang berpangkalan di Sarawak, sementara wakil Aermacchi tidak diketahui.

“Angkatan tentera memang mempunyai senarai pilihan mereka, tetapi politik yang akan menentukan pembelian Malaysia,” seorang eksekutif kanan sebuah agensi pertahanan tempatan dilaporkan berkata.

Lobi daripada Pakistan juga kuat. Perdana menterinya, Imran Khan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun bidaan Pakistan mungkin gagal kerana Malaysia mahu mengaitkan perjanjian pembelian senjata itu dengan pembelian minyak kelapa sawit.

India, salah satu pembeli utama minyak sawit Malaysia, dilaporkan menawarkan untuk membeli jet pejuang MiG-29 milik Malaysia yang tidak lagi digunakan bagi meningkatkan peluangnya.

TUDM kini memiliki campuran jet pejuang supersonik dan pesawat tempur pelbagai peranan, terdiri daripada 13 buah MiG-29 buatan Rusia (kini tidak digunakan) dan 18 Sukhoi SU-30MKM “Flanker”, serta 8 buah F/A-18D Hornet buatan Boeing dari Amerika Syarikat. Terdapat juga 13 pesawat tempur ringan Hawk 208 buatan British.

TUDM juga menggunakan 5 buah Hawk 108 dan 7 jet pelatih Aermacchi MB-339.