NFCorp sudah ada pembeli baru sedia bayar baki pinjaman, kata pengerusi

Mohamad Salleh Ismail.

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sudah mempunyai pembeli baru sejak 25 Okt tahun lepas yang bersedia untuk membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFCorp dalam masa 3 bulan daripada persetujuan kerajaan untuk penstrukturan semula NFCorp.

Pengerusi Mohamad Salleh Ismail berkata NFCorp masih menunggu persetujuan kerajaan.

“Pembeli baru syarikat NFCorp sudah pun bersetuju untuk mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal NFCorp dan bersedia untuk membuat pembayaran penuh terhadap jumlah baki pinjaman sebenar dengan kerajaan.

“Hasrat ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 21 Nov 2018,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Dalam kenyataannya itu, Lim berkata NFCorp masih belum melunaskan hutang pinjaman dengan kerajaan berjumlah RM254 juta termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April 2019 dan kerajaan mahu menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman itu.

Salleh berkata pembeli baru memaklumkan kepada kerajaan mengenai kesanggupan dan keyakinan mereka untuk memulihkan serta menstruktur semula syarikat NFCorp, termasuk pembayaran penuh baki pinjaman dengan kerajaan.

Pembeli baru dan kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sudah berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek itu bagi mencapai matlamat Keselamatan Makanan Negara, terutamanya dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin halal.

“Saya percaya kenyataan akhbar Lim susulan daripada surat pada 17 Mei lalu yang dihantar oleh pembeli baru kepada Kementerian Kewangan untuk membayar balik pinjaman itu sepenuhnya”.

“Saya yakin bawah kepimpinan perdana menteri, isu ini akan diselesaikan secara terbaik di mana NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada kerajaan, dan projek yang penuh dengan potensi ini akan dibangunkan semula oleh kerajaan dan pembeli baru NFCorp,” katanya.