Perbandingan Tony ‘lebih parah’, Najib jelaskan beza IHH, RAPID Pengerang

Najib berkata IHH sudah lama beroperasi, keuntungannya semakin bertambah dan merupakan kumpulan pusat perubatan kedua besar di dunia.

PETALING JAYA: Najib Razak menyanggah Tony Pua kerana membandingkan penjualan saham IHH Healthcare Bhd dengan pelaburan dalam projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID), menyifatkan ia sebagai cubaan yang “lebih parah”.

Bekas perdana menteri itu seterusnya menjelaskan perbezaannya kepada setiausaha politik menteri kewangan itu, menarik perhatian Tony kepada dapatan daripada pelaburan dalam RAPID Pengerang dan penjualan saham IHH.

Beliau mengingatkan Tony bahawa IHH sudah lama beroperasi, keuntunganya semakin bertambah dan merupakan kumpulan pusat perubatan kedua besar di dunia.

“Apa yang kita dapat dari penjualan saham IHH kepada (syarikat) Jepun? Hanya RM8.4 bilion masuk ke kerajaan Pakatan Harapan untuk diguna entah di mana,” katanya di Facebook.

“Satu peluang pekerjaan baru pun tak dijanakan. Cuma jual saham sahaja.”

Sebaliknya, Saudi Aramco milik Arab Saudi membuat pelaburan AS$7 bilion (RM30 bilion) dalam RAPID Pengerang ketika projek itu masih dalam pembinaan.

Beliau menjelaskan untung atau rugi projek itu belum boleh diketahui kerana ia belum beroperasi, dan wang yang diterima Petronas itu digunakan untuk membina projek-projek lain dalam kompleks Pengerang.

“Apa lagi yang kita dapat dari pelaburan Aramco itu? Aramco juga menjamin mereka akan membekal sekurang-kurangnya minyak mentah yang diperoleh dan akan membeli 50% dari hasil keluaran projek itu,” katanya.

“Nampak perbezaan tak? Atau masih mahu menegakkan benang yang basah?”

Terdahulu, Tony menepis kenyataan Najib mengenai kemasukan pelaburan asing langsung pada suku pertama tahun ini, mengatakan Petronas juga menjual 50% pegangan sahamnya dalam RAPID Pengerang kepada Saudi Aramco pada 2017, dan diraikan sebagai aliran masuk FDI “paling besar dalam sejarah negara”.

Najib sebelum itu menyindir Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kemasukan FDI pada suku pertama tahun ini, mengatakan pelaburan dari Jepun dan Austria adalah penjualan aset yang diumumkan pada suku ke-4 tahun lepas, tetapi wang hasil penjualan itu baru diperolehi tahun ini.

Lim sebelum itu berkata FDI naik ke tahap tertinggi iaitu RM21.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 94.8% berbanding RM11.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lepas. Beliau menjelaskan lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion dari Jepun, RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion dari Hong Kong.

Najib bagaimanapun berkata RM8.4 bilion dari Jepun itu adalah penjualan IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co Ltd, manakala RM3.7 bilion dari Austria itu merupakan penjualan 50% kepentingan dalam Sapura Upstream Sdn Bhd kepada OMV.

“Oleh itu ia dikira sebagai pelaburan direalisasikan untuk suku pertama 2019 ini. Bolehlah jual lagi banyak aset negara dan dipanggil sebagai pelaburan asing,” katanya di Facebook.