Polis rampas haiwan ternakan seludup bernilai hampir RM1 juta

Pasukan Gerakan Am Batalion 9 berkata kebanyakan haiwan ternakan berkenaan dirampas di kandang-kandang milik penduduk tempatan. (Gambar Bernama)

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) berjaya membuat rampasan sebanyak 235 ekor lembu, 46 kambing, 38 biri-biri dan 4 ekor kerbau bernilai hampir RM1 juta hanya dalam tempoh 72 jam ditugaskan di sempadan Kelantan-Thailand.

Pegawai Pemerintah PGA9, Supt Ramly Poncho berkata, kebanyakan haiwan ternakan berkenaan dirampas di kandang-kandang milik penduduk tempatan selepas diseludup masuk dari negara jiran.

Beliau berkata biasanya lembu dibawa masuk secara menyeberang sungai dan akan dibawa melalui laluan tikus ke kandang-kandang untuk disimpan.

“Dalam kejadian terbaru kira-kira pukul 5.45 petang semalam pasukan ini bertindak merampas sejumlah 75 ekor lembu, 46 ekor kambing, 38 ekor biri-biri serta 4 ekor kerbau selepas serbuan di Kampung Tok Rusa dekat Kubang Pak Itam.

“Kita dapati semua haiwan berkenaan dibawa masuk secara haram malah pemilik kandang juga mengakui tiada sebarang dokumen untuk menyimpan kesemua haiwan itu,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubuk Setol hari ini.

Sebelum ini pasukannya turut merampas sejumlah 37 ekor lembu selepas mengekori dan menahan sebuah lori di Tok Uban pada 17 Mei lepas.

Katanya sebanyak 123 ekor lembu lagi berjaya dirampas di sebuah kandang berdekatan Kampung Pulau, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 18 Mei.

“Sebenarnya taktik kami adalah mengarahkan anggota supaya sentiasa ‘berkeliaran’ di kawasan masing-masing dan jangan ‘tertidur’ supaya segala perkembangan di situ sentiasa dalam pengetahuan mereka.

“Semua anggota ini terutamanya unit risikan yang berpakaian awam akan selalu ada untuk memantau ‘kawasan’ masing-masing,” katanya.

Jelas Ramly, semua haiwan ternakan yang dirampas ini dipercayai untuk bekalan sambutan hari raya tidak lama lagi.

Katanya semua ternakan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya.