Putrajaya tuntut bayaran balik penuh pinjaman RM250 juta kepada NFCorp

Mohamad Salleh Ismail kini disenaraikan sebagai satu-satunya pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya memutuskan untuk menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008, bersama dengan kadar faedah dan faedah lewat sehingga 30 April tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh NFCorp kepada kerajaan Persekutuan adalah RM253,618,455.03.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110,840,854.28 merupakan jumlah bayaran tertunggak kepada kerajaan Persekutuan setakat tarikh tersebut, iaitu tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81,987,629.65, faedah sebanyak RM22,967,131.55 dan faedah lewat sebanyak RM5,886,093.08,” katanya.

Menurut Lim, pada 9 Januari 2008, NFCorp menerima kemudahan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM250 juta pada kadar faedah 2% dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh penangguhan selama 3 tahun.

Pinjaman itu adalah bersandarkan debentur yang ditanda tangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

Lim berkata, berdasarkan laporan usaha wajar syarikat perakaunan PwC, ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran Salleh, Izmir Salleh, Izzana Salleh bersama wakil-wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun carian SSM pada 17 Mei 2019 merekodkan Mohamad Salleh Ismail sebagai satu-satunya ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama 2 orang setiausaha syarikat,” katanya.

Jelasnya, pada 4 September 2014, satu notis pengisytiharan keingkaran selaras dengan klausa 14 perjanjian pinjaman di antara kerajaan Persekutuan dan NFCorp dikeluarkan kepada NFCorp.

“Kementerian Kewangan kini sudah mengambil keputusan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp dan perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya.

“Perkara ini sedang diuruskan pihak Jabatan Peguam Negara yang akan mengumumkan perkembangan kemajuan selanjutnya,” katanya.