Zuraida: Lebih 32,000 rumah mampu milik siap dalam 3 bulan pertama 2019

CHUKAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata daripada jumlah itu, bilangan tertinggi di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit, diikuti Perak 5,688 unit, Putrajaya 4,999 unit, Kedah 4,815 unit, Selangor 3,777 unit, Johor 1,964 unit dan Pahang 1,884 unit.

“Pakatan Harapan sasarkan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun iaitu 100,000 setahun. Tetapi dalam tempoh setahun sahaja kami telah melepasi sasaran dan telah sediakan 360,000 unit kediaman yang telah dimulakan pembinaan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Binaan Berindustri (IBS) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak.

Pusat latihan IBS di Kijal, Kemaman itu yang pertama di negara ini yang dijalankan secara usahasama antara syarikat gergasi pembinaan IBS Dunia, Sany Construction Industry (SCI) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sebanyak 150 pelatih peringkat pertama akan dipilih mengikuti latihan selama tiga bulan bermula awal Julai depan dengan 15 orang daripadanya ditaja oleh SCI.

Menurut Zuraida, kewujudan pusat terbabit akan melahirkan lebih ramai tenaga teknikal dan pakar dalam industri IBS dalam kalangan anak tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada tenaga buruh asing dalam sektor pembinaan sekurang-kurangnya 40%.

“Dengan teknologi IBS, kita tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai kerana kerja 1,000 orang dapat dilakukan oleh hanya 90 pekerja sahaja. Ini juga akan membantu mempercepatkan pembinaan satu juta RMM yang kita sasarkan dengan kos yang lebih murah melalui teknologi moden serta efisien,” katanya.