China, EU meterai perjanjian kerjasama penerbangan awam

Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker berkata, perjanjian penerbangan awam dengan China akan mencipta peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan serta merapatkan hubungan antara Eropah dan Asia. (Gambar AFP)

BRUSSELS: China dan Suruhanjaya Eropah pada Isnin menandatangani 2 perjanjian berkaitan kerjasama penerbangan awam, yang merupakan satu langkah penting ke arah pelaksanaan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua pihak semasa Sidang Kemuncak China-Kesatuan Eropah (EU) yang berlangsung bulan lepas, lapor agensi berita Xinhua.

Kedua-dua perjanjian itu adalah perjanjian berkaitan keselamatan penerbangan awam antara China dan EU serta perjanjian antara China dan EU berkaitan aspek tertentu perkhidmatan udara.

Menyifatkan kedua-dua perjanjian sebagai “langkah besar pertama,” presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker berkata, “EU yakin negara yang bekerjasama menjadikan dunia lebih kuat, selamat dan makmur untuk semua.”

Beliau berkata, kedua-dua perjanjian akan mencipta peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan serta merapatkan hubungan antara benua Eropah dan Asia serta penduduknya.

“Perjanjian yang dimeterai hari ini menunjukkan potensi kerjasama kami (dengan China) dan kami harus meneruskan laluan kerjasama ini,” katanya.

Feng Zhenglin, ketua Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), berkata, kedua-dua perjanjian akan terus mempromosi kerjasama antara China dan Eropah dalam bidang penerbangan awam sambil memperkaya kandungan perkongsian strategik komprehensif China-EU.

“Kedua-dua perjanjian pasti akan membawa kerjasama penerbangan awam China-EU ke tahap baru yang lebih tinggi,” katanya.