DBKL cadang tempat 30 peniaga terlibat kebakaran di Masjid India ke lokasi sementara

30 gerai perniagaan musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, Masjid India, awal pagi tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menempatkan 30 peniaga yang terlibat dalam kebakaran di Bazar Jalan Masjid India malam tadi ke lokasi sementara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi yang dicadangkan adalah di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 3 atau 5 .

“Bagaimanapun pemindahan ini tertakluk kepada persetujuan majoriti penjaja terlibat.

“Penjaja terlibat diminta berbincang dulu dengan persatuan mereka berhubung dengan cadangan tersebut,” katanya.

30 gerai perniagaan musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, Masjid India, awal pagi hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur L Logeswaran berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 1.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.45 pagi.

Operasi memadam kebakaran melibatkan anggota dari balai Sentul, Hang Tuah, Titiwangsa serta bantuan daripada balai Pudu.

Gerai di hadapan Wisma Yakin itu adalah antara lokasi tumpuan pengunjung bagi membeli barang keperluan untuk sambutan Hari Raya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Hisham berkata, sekiranya penjaja tidak bersetuju, mereka boleh mengemukakan cadangan lain kepada DBKL untuk dibuat penilaian.

“Hanya penjaja bertaraf warganegara sahaja akan dipertimbangkan untuk pemindahan sementara ini.

“Penjaja yang terlibat juga tidak dibenarkan berniaga di tapak kebakaran sehingga siasatan dijalankan oleh bomba selesai,” katanya.

Hisham berkata, ini bertujuan membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan oleh DBKL.

Sebelum itu, Hisham membuat tinjauan di lokasi kejadian untuk melihat kesan kebakaran dan bertemu dengan penjaja terlibat.

“Saya telah meminta penjaja yang terlibat supaya mengemukakan kepada DBKL senarai mangsa dan kos kerugian dalam masa 3 hari ini,” katanya.