Jom debat kleptokrasi, Lim sahut cabaran debat Najib

Najib Razak dalam temubual dengan FMT berkata, debat dengan Lim Kit Siang akan membolehkan orang ramai menilai pendirian mereka dalam isu tertentu.

PETALING JAYA: Lim Kit Siang menyahut cabaran debat daripada Najib Razak, selepas melancarkan serangan terbaru ke atas bekas perdana menteri itu dengan mendakwanya “mempunyai penyakit suka berbohong” dan memesongkan soalan mengenai skandal 1MDB.

“Mungkin, subjek terbaik bagi sesi perdebatan tersebut adalah: ‘Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti’,” kata Lim menjawab kesediaan Najib mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengannya.

“Giliran Najib pula untuk menjawab.”

Lim turut menolak dakwaan Najib yang beliau taksub dengannya.

“Beliau silap. Saya tidak berminat langsung dengan beliau jika beliau tidak melakukan kerosakan besar terhadap negara serta generasi masa kini dan akan datang dengan legasi kleptokrasi yang ditinggalkannya.”

Dalam satu temubual dengan FMT yang disiarkan hari ini, Najib dilaporkan berkata, debat dengan Lim akan membolehkan orang ramai menilai pendirian mereka dalam isu tertentu.

“Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran,” kata ahli Parlimen Pekan itu.