Kelantan tarik balik saman royalti minyak terhadap Petronas

Menerusi Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, Petronas perlu membayar 5% hasil minyak daripada usaha carigali di kawasan pantai atau pesisir pantai, secara tunai kepada Kelantan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kes saman yang difailkan kerajaan Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak 9 tahun lalu, akhirnya selesai selepas kerajaan negeri menarik balik saman itu pada 13 Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan Kelantan kepada wartawan selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache hari ini dengan dihadiri peguam persekutuan, Siti Asmath Che Man yang mewakili defendan, kerajaan persekutuan.

Aleeya Elyana berkata, kerajaan Kelantan memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap Petronas Isnin minggu lalu, tetapi pihaknya tidak menerima sebarang arahan berhubung saman ke atas kerajaan persekutuan.

“Mahkamah menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya (bagi kes saman kerajaan Kelantan terhadap kerajaan persekutuan).”

Pada 2 Julai 2014, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi di sini dan diselesaikan melalui hujahan berkaitan isu undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Kaedah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Dalam keputusan itu, panel 5 hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdull Hamid Embong berkata, tiada pertikaian fakta dalam kes itu yang memerlukan mahkamah memanggil saksi.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kerajaan Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2012 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan kes saman sivil itu ditentukan menerusi isu undang-undang.

Bagaimanapun, pendengaran berhubung isu undang-undang di Mahkamah Tinggi belum didengar.

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan Kelantan selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan ke-2.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan negeri menuntut syarikat minyak itu membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi hasil minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai Kelantan seperti termaktub dalam perjanjian carigali petroleum.

Kerajaan Kelantan turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap Petronas.

Dalam saman itu, kerajaan negeri menyebut dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, ia jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai 5% daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau pesisir pantai.

Dakwanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat 2 kali setahun pada atau sebelum 1 Mac dan satu lagi sebelum 1 September.

Pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata kerajaan persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan kerajaan pusat selesai.