Keluarga rakyat Malaysia tunggu hukuman mati rayu campur tangan Putrajaya

Pannir Selvam Pranthaman dijadualkan menjalani hukuman mati di Penjara Changi Jumaat ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Keluarga seorang rakyat Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah di Singapura merayu campur tangan Putrajaya untuk menghentikan hukuman itu dengan alasan dia tidak diberikan peluang untuk mendapat pengampunan di bawah undang-undang republik itu.

Pannir Selvam Pranthaman dijadualkan menjalani hukuman mati di Penjara Changi Jumaat ini.

Keluarga itu melalui kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty berkata mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya, termasuk menghantar rayuan terakhir kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob pagi ini.

“Kami terkejut menerima notis pelaksanaan hukuman hanya seminggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kedua-dua surat menolak pengampunan dan notis pelaksanaan hukuman datang bersama, dengan tarikh sama. Jelas ini tidak betul dan Pannir tidak diberikan peluang untuk mendapat pengampunan di bawah undang-undang Singapura.

“Pendakwa raya juga tidak memberi sijil bantuan kepada Pannir, walaupun dia memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Sijil ini boleh menyelamatkan nyawanya dan dia layak mendapatnya.”

Keluarga itu berkata, Pannir ialah “orang baik yang datang daripada keluarga baik” dan menggesa Putrajaya menghubungi kerajaan Singapura bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati itu.

“Kita tahu dalam Malaysia Baru, kerajaan kita tidak lagi meluluskan hukuman mati bagi pengedaran dadah.

“Kerajaan Malaysia ialah harapan terakhir Pannir dan keluarga kami. Tolong beri Pannir dan keluarga kami peluang kedua.”