Mana RM15.3 juta kami, syarikat perlombongan tanya kerajaan Terengganu

R Rajagopal ialah pengarah urusan Golden Mineral Sdn Bhd.

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat perlombongan bijih besi mempertikaikan kenyataan pihak berkuasa Terengganu yang mendakwa sebuah anak syarikat kerajaan negeri itu yang sepatutnya membayar RM15.3 juta sudah menamatkan operasinya.

Pengarah Urusan Golden Mineral Sdn Bhd (GMSB), R Rajagopal, berkata hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Permint Minerals Sdn Bhd (PMSB) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) masih aktif setakat semalam.

Mahkamah Rayuan pada 13 September 2018 mengarahkan PMSB membayar kerugian berjumlah RM15,342,212.55 kepada GMSB selepas syarikat itu menghentikan operasi perlombongan bijih besi di Padang Air Putih, Mukim Bandi, Kemaman pada 2012.

Beliau memberitahu wartawan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini yang Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu, tetapi tiada bayaran dibuat kepada syarikat itu sehingga kini.

Beliau ke ibu pejabat SPRM untuk mengetahui perkembangan terhadap satu laporan yang difailkan syarikat itu di pejabat agensi anti-rasuah itu di Terengganu pada 8 Mac lalu.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan negeri menyerahkan perkara itu kepada mahkamah putuskan.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa kerana PMSB sudah dibubarkan dan itu adalah keputusan perniagaan.

Rajagopal berkata, jika PMSB tidak lagi beroperasi, tentu ada pengesahan atau perisytiharan dibuat di mahkamah atau kerajaan nengeri boleh mengemukakan kenyataan oleh SSM.

“PSMB masih beroperasi dan aktif, kenapa mereka kata ia sudah ditutup?

“Jika ia tiada kaitan dengan negeri itu, bagaimana dengan afidavit PMSB pada 2 Januari yang ia milik kerajaan negeri dan mempunyai kepentingan dalam pendapatan atau perbendaharaan kerajaan negeri?”

Beliau yang menggesa kerajaan Terengganu menyelesaikan isu itu berkata, pelabur akan hilang keyakinan terhadap negeri itu jika masalah seperti itu berterusan.