Musim Raya boleh tingkat jualan kereta, kata badan penyelidik

Ambank Research berkata, jualan kereta lebih tinggi bergantung pada gaji lebih tinggi dan pemulihan keadaan ekonomi.

PETALING JAYA: Jualan kereta Malaysia berada dalam jajaran yang unjurkan bagi 2019 sebanyak 603,000 unit menurut sebuah badan penyelidik hari ini.

Ambank Research berkata, jumlah isi padu industri (TIV) jualan kereta pada April jatuh 9% bulan ke bulan kepada 50,000 unit. Bagaimanapun jika dilihat atas asas tahunan, ia meningkkat 6% kepada 193,000 unit.

Dalam satu laporan dikeluarkan hari ini, ia berkata, Persatuan Automobil Malaysia (AAM) menjangka jualan kereta lebih tinggi pada Mei dan Jun berikutan kempen promosi sempena musim perayaan Hari Raya.

“Pengedar akan berikan rebat, hadiah percuma dan insentif lain bagi meningkatkan jualan mereka,” katanya.

Ambank Research juga berkata, kempen promosi bagi musim perayaan Mei dan Jun adalah sama seperti pelepasan cukai 2018, yang menawarkan ransangan sementara kepada jualan kereta.

Musim perayaan ini dilihat sebagai masa yang sesuai bagi pengeluar kereta menghabiskan dan mengurangkan inventori mereka ke paras lebih sihat sewaktu model baru kereta bakal dilancarkan pada penghujung 2019 dan awal tahun depan.

Kata badan penyelidikan itu lagi, dalam jangka panjang sektor berkenaan bakal dicabar oleh ketidaktentuan ekonomi luaran dan domestik.

Sentimen pengguna merosot, sementara kadar pengangguran meningkat sedikit pada Mac berbanding 2 bulan pertama 2019.

Cabarannya ialah untuk mendorong pengguna membuat perbelanjaan besar seperti membeli kereta walaupun kadar pembiayaan sewa beli kini lebih menarik berikutan pemotongan kadar polisi semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Ambank Research berkata, pertumbuhan jualan kenderaan lebih kukuh akhirnya akan bergantung pada kadar pertumbuhan gaji lebih tinggi dan pemulihan keadaan ekonomi bagi mengangkat paras keyakinan rumah tangga.

Ia juga menunggu pengumuman Dasar Automotif Negara 2019 (NAP 2019) baru yang dijangka dibuat pada suku kedua tahun ini.

Dasar baru itu akan menggariskan haluan jangka panjang ekosistem automotif negara, selain menyediakan gambaran lebih jelas tentang perkembangan projek kereta nasional ke-3.