Polis tahan lelaki belajar cara buat pil kuda daripada internet

Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan antara barangan memproses dadah yang dirampas polis dalam sidang media hari ini. (Gambar Facebook)

KEPALA BATAS: Seorang lelaki mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari hasil pemprosesan dadah yang dipelajarinya menerusi internet, sebelum kegiatan itu dibongkar polis susulan serbuan di Flat Seri Pinang, Butterworth, dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak atas maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah didiami lelaki berusia 29 tahun itu kira-kira 1 pagi sebelum berjaya membongkar makmal memproses dadah mini itu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15,000, antaranya 50g syabu, serbuk disyaki dadah campuran (49g), 51 biji pil yaba, pil ecstasy (45 biji) dan 3 biji pil eramin 5 serta pelbagai barangan untuk memproses bahan terlarang itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, lelaki tidak bekerja yang tinggal bersendirian di rumah itu belajar memproses dadah jenis pil yaba yang juga dikenali sebagai pil kuda menerusi internet dan mampu menghasilkan 200 pil setiap hari sebelum menjual pada harga RM15 sebiji.

Beliau berkata, lelaki itu menjalankan kegiatan memproses dan menjual dadah untuk pasaran Pulau Pinang sejak 6 bulan lalu di rumah milik ayahnya.

Noorzainy berkata, lelaki yang mempunyai 3 rekod lampau berkaitan dadah itu turut positif dadah dan direman 7 hari bagi membantu siasatan.

“Polis percaya lelaki itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan kami giat mengesan rangkaian sindiketnya untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Katanya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM27,000.

Sementara itu, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk membeli dadahnya dan merampas 70g syabu bernilai RM10,500 di depan pangsapuri Taman Bagan Lalang, Butterworth awal pagi Ahad.

Katanya, sepasukan polis yang sedang menjalankan Ops Tapis menahan suspek pada 3 pagi selepas mendapati dia dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menemui syabu dalam beg silangnya.

“Lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu direman 7 hari. Polis turut menyita sebuah Perodua Axia dan wang tunai RM1,000 yang dipercayai hasil aktiviti dadah dengan nilai keseluruhan sitaan RM26,000.”