Projek RTS digantung hingga akhir September

Loke Siew Fook bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan. (Gambar Facebook)

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani satu perjanjian tambahan untuk menggantung projek Sistem Transit Rapid (RTS) sehingga 30 September ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata Malaysia akan membayar balik RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai ini sebagai kos penggantungan selama 6 bulan.

Loke dan rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan memeterai perjanjian itu di Kementerian Pengangkutan di sini.

Perjanjian dua hala mengenai RTS ditandatangani kerajaan terdahulu pada Januari 2018.

Loke berkata, di bawah perjanjian asal, tambang sehala yang ditetapkan pada RM15 akan membebankan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.

Pembinaan projek itu dijadualkan bermula tahun ini dan dijangka siap menjelang Disember 2024.

Ia bertujuan mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas.

Projek RTS merangkumi landasan sepanjang 4km menghubungkan Bukit Chagar di Johor Baru dan Woodlands di Singapura, dengan kapasiti 10,000 penumpang sejam.

Sementara itu, Khaw berkata, Malaysia perlu membayar lebih S$66 juta (RM200 juta) jika ia memilih untuk membatalkan projek itu.

Kedua-dua menteri itu kemudiannya melawat tapak RTS di Woodlands North.

Ditanya berapa banyak pengurangan kos yang Malaysia mahukan, Loke bagaimanapun tidak meletakkan sebarang angka kerana perbincangan masih berlangsung.

“Kami juga sedang mencari sektor swasta untuk terlibat dalam projek ini. Jadi, ini melibatkan perbincangan komersial.

“Apa yang paling penting adalah sama ada kita dapat mengurangkan kos infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan orang awam kerana ia akan mengurangkan kadar tambang.”

Katanya, kedua-dua negara belum mengenal pasti sektor swasta yang akan terbabit dalam projek itu.

Beliau mengucapkan terima kasih terhadap sokongan dan pemahaman Singapura berhubung cabaran dihadapi Malaysia dalam melaksanakan projek itu.

Katanya, beliau sudah menemui rakan sejawatannya sebanyak 6 kali sepanjang tahun ini untuk mencari penyelesaian terhadap isu dua hala, termasuk perjanjian RTS.

“Kami menyedari keperluan mendesak untuk mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor – Singapura yang memudahkan kira-kira 300,000 orang melintasi sempadan setiap hari melibatkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.”

Loke berkata, perjanjian tambahan itu akan memberikan Malaysia sedikit masa untuk mencari penyelesaian lain yang lebih sesuai dan mampan bagi menangani kesesakan trafik di sempadan negara.

“Ini termasuklah inisiatif baru seperti penambahbaikan infrastruktur fizikal di sempadan, kajian semula polisi dan peraturan antara sempadan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan.”