Sekarang saya ada lebih banyak masa berdebat dengan Dr M, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata beliau kini mempunyai lebih banyak masa lapang untuk berdepan seteru politiknya, termasuk Dr Mahathir Mohamad yang pernah dipelawa berdebat dengannya sebanyak 2 kali.

Najib dalam temubual dengan FMT menyuarakan kesediaannya berdebat dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan berkata beliau tidak menghadiri forum “Nothing2Hide” pada 2015 disebabkan jadualnya padat sebagai perdana menteri ketika itu.

“Saya faham juga bahawa tugas seorang PM adalah sibuk, tapi jika PM ke-7 berpendapat dia ada masa atau ada keperluan untuk debat dengan saya, (saya) tentu akan sahut cabaran itu,” tulisnya di Facebook hari ini.

Forum kedua “Nothing2Hide” dijadualkan semula pada 2017.

Najib berkata, Mahathir masih merupakan ahli Umno pada 2015 dan tentu janggal untuk pemimpin Umno berdebat sesama sendiri.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak pernah menolak idea berdebat dengan lawannya, selepas pengkritik memetik satu laporan media yang memetiknya sebagai berkata debat bukan budaya rakyat Malaysia.

“Jika dibaca betul-betul, saya pernah kata debat perlu melihat keadaan. Saya tidak tolak debat secara menyeluruh.

“Yang penting sekali rakyat ada maklumat secukupnya (dalam) membuat pilihan.”

Najib menerusi temubual dengan FMT berkata, beliau sedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan Lim yang melancarkan satu siri serangan terbuka terhadapnya.