SPRM siasat ‘secara agresif’ kes rasuah bekal alat kereta kebal

Pemilik syarikat yang membekalkan peralatan untuk kereta kebal ATM dibawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya untuk direman. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya “menyiasat secara agresif” berhubung pendedahan terkini mengenai rasuah melibatkan pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (operasi) Azam Baki berkata kes itu masih di peringkat awal tetapi ramai saksi akan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes itu.

“Saya tidak boleh beri jumlah yang tepat, tapi sekarang kami kini sedang siasat secara agresif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan latihan anti-rasuah di pejabat rakan SPRM di Akademi Anti-Rasuah Malaysia hari ini.

Konglomerat dikaitkan dengan kerajaan, DRB-Hicom baru-baru ini mengesahkan laporan mengenai penyiasatan SPRM ke atas anak syarikatnya, Defense Technologies Sdn Bhd (DefTech).

Menurut laporan itu, SPRM menahan ketua pegawai eksekutif berusia 45 tahun pada 12 Mei, dan seorang wanita yang juga ketua pegawai kewangan (CFO) berusia 53 tahun kerana disyaki terlibat rasuah dalam projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan bernilai RM17 juta.

Kedua-dua individu itu disyaki menerima rasuah berjumlah ratusan ribu daripada beberapa syarikat yang membekalkan peralatan untuk kereta perisai Deftech AV8 Gempita dan ACV-300 antara 2014 dan 2017.

Angkatan Tentera Malaysia mempunyai kenderaan 267 Adnan ACV-300 dan 257 AV8 Gempita dalam perkhidmatan.

SPRM turut menyita beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di rumah CFO.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata kira-kira RM100,000 tunai dirampas serta dokumen berkaitan projek itu sebagai sebahagian daripada siasatan.

CEO itu dibebaskan hari ini sementara CFO dibebaskan pada 16 Mei.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

Semalam, Bernama melaporkan suspek ke-3 yang bergelar “Datuk” ditahan reman selama 4 hari berhubung siasatan itu.

Suspek, yang merupakan pemilik syarikat pembekal peralatan alat ganti kereta kebal, ditahan pada jam 11 malam Ahad lalu ketika datang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.