Syarikat dilantik Tengku Adnan banci lesen premis mungkin ditamat kontrak, kata Khalid Samad

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada program agihan sumbangan dan berbuka puasa di Kampun Baru hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad tidak menolak kemungkinan menamatkan perkhidmatan sebuah syarikat yang dilantik oleh bekas menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor, bagi menjalankan bancian lesen premis dan iklan di ibu kota semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Khalid berkata, pada dasarnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus menjalankan tugas menyemak lesen premis dan iklan di Wilayah Persekutuan, memandangkan lesen perniagaan juga dikeluarkan badan itu.

“Oracle Synergy Sdn Bhd adalah syarikat yang diberikan hak eksklusif oleh pentadbiran terdahulu untuk semak lesen perniagaan. Kita kini dalam proses untuk melihat sama ada kontrak yang diberikan kepada syarikat itu memberi manfaat atau sebaliknya. Jika tidak memberi manfaat, kita akan buat sendiri.

“Pada dasarnya kita perlu lakukan sendiri kerana lesen dikeluarkan oleh DBKL, maka kita yang seharusnya semak. Apabila mereka (syarikat) semak lesen dan peniaga memperbaharui lesen, mereka dapat komisen,” katanya sewaktu ditemui pada program agihan sumbangan dan berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, hari ini.

Pada Disember 2014, sewaktu menjadi menteri wilayah persekutuan, Tengku Adnan mengumumkan pelantikan Oracle Synergy Sdn Bhd bagi mengatasi isu premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata pada waktu itu, keadaan tersebut menyumbang kepada masalah pendapatan DBKL yang rendah kerana banyak perniagaan haram yang beroperasi tanpa membayar sebarang yuran.

Katanya, pada penghujung kontrak syarikat berkenaan tahun lepas, DBKL menjangka jumlah kutipan lesen perniagaan yang akan diperolehi adalah dari RM35 juta ke RM80 juta.

Khalid berkata, sebuah syarikat yang diberikan hak eksklusif oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk menguruskan semua papan iklan berbayar di Kuala Lumpur sudah ditamatkan kontrak.

“Saya tidak ingat bila (kontrak Oracle Synergy akan tamat), tetapi ia sama dengan syarikat Anjung Akar Sdn Bhd. Jika ia tidak banyak memberi manfaat dan kita terpaksa bayar lebih kerana kita juga mempunyai kakitangan sendiri, maka berkemungkinan besar kita akan tamatkan kontrak Oracle Synergy juga,” katanya.

Isu warga asing berniaga di Kampung Baru

Khalid turut mengulas mengenai gesaan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berhubung isu lambakan warga asing yang memonopoli perniagaan di Kampung Baru hingga menjejaskan warga tempatan.

Menurutnya, DBKL tidak pernah memberikan sebarang lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing untuk menjalankan perniagaan, namun perbuatan segelintir warga tempatan yang tidak bertanggungjawab menyumbang kepada masalah itu.

“Lesen perniagaan semuanya diberikan kepada warga tempatan, tidak ada seorang warga asing dapat lesen perniagaan. Sekiranya warga asing kuasai tempat perniagaan, maka ini sebabnya.

“Mereka menyewa lesen warga tempatan kita. Saya menyeru warga tempatan, jangan ambil jalan mudah, dapat lesen kemudian sewakan lesen,” katanya.

Khalid berkata, DBKL memang mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang beroperasi di Wilayah Persekutuan, tetapi masalah itu sukar dibendung memandangkan warga asing terbabit mendapat bantuan daripada pemilik lesen.

“Masalahnya kadang-kala, bila kita hendak ambil tindakan, ada orang tempatan yang datang dan katakan bahawa mereka (warga asing) adalah pekerja. Kalau pekerja, memang kita terpaksa benarkan, asalkan mereka mempunyai dokumen sepatutnya,” katanya.