Warga Nepal tawan gunung Everest buat kali ke-24

Kami Rita Sherpa tiba di puncak setinggi 8,850 meter itu buat kali ke-24 dan kini merancang untuk pendakian terakhir sebelum bersara. (Gambar Facebook)

KATHMANDU: Seorang sherpa warga Nepal tiba ke puncak Gunung Everest untuk kali ke-24 Selasa, pendakian kali-2 dalam tempoh 1 minggu dan merancang untuk 1 lagi pendakian sebelum bersara, kata pegawai.

Kami Rita Sherpa, 49, tiba di puncak setinggi 8,850 meter (29,035 kaki) itu melalui laluan tradisional rabung tenggara, kata pegawai jabatan pelancongan, Mira Acharya.

Laluan itu diteroka oleh Edmund Hillary dan Sherpa Tenzing Norgay pada 1953 dan kekal sebagai denai salji paling popular ke puncak tertinggi di dunia tersebut.

2 pendaki lain, kedua-duanya sherpa, menawan puncak Everest masing-masing sebanyak 21 kali. Mereka kini telah bersara daripada aktiviti mendaki gunung.

Kami berkata, beliau mahu mendaki gunung tersebut 1 kali lagi.

“Saya masih bertenaga dan mahu mendaki Sagarmatha 25 kali,” kata Kami sebelum memulakan pendakiannya kali ke-23, merujuk kepada nama tempatan bagi gunung Everest.