1 bulan pamer laporan EIA projek tambakan P Pinang memadai, kata Chow

Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai rancangan untuk melanjutkan tempoh pameran umum Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek penambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSR) yang tamat pada 28 Mei depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tempoh pameran selama 1 bulan sejak 29 April memadai dan orang ramai digesa menggunakan sepenuhnya masa yang diberikan untuk mengkaji laporan itu.

Kami rasa tempoh yang diberikan mencukupi dan kami tidak mempunyai rancangan untuk memanjangkan tempoh pameran awam. Orang ramai harus menggunakan sepenuhnya masa yang ada dan menyerahkan semua pandangan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menambah ini adalah kali kedua pameran awam EIA bagi PSR yang dilakukan di 10 lokasi berbeza di seluruh negeri.

Bulan lalu, Chow mendedahkan laporan EIA pertama yang dijalankan pada 2017 dan dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar ditolak kerana penolakan laporan Penilaian Kesan Perikanan (FIA).

Projek PSR yang dirancang kerajaan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dijangka menelan belanja RM49 bilion untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas.

Projek PSR itu melibatkan projek pembangunan di 1,700 hektar 3 pulau buatan manusia yang dijangka bersaing dengan Marina Bay di Singapura.