3 ulama terkenal Saudi berdepan hukuman mati selepas Ramadan

(Dari kiri) Sheikh Salman al-Odah, Awad al-Qarni dan Ali al-Omari

PETALING JAYA: Tiga ulama terkenal Arab Saudi yang didakwa atas pelbagai tuduhan “keganasan” akan dijatuhi hukuman mati selepas Ramadan, menurut 2 sumber kerajaan dan waris ulama terbabit memetik laporan Middle East Eye.

Ketiga-tiga mereka ialah Sheikh Salman al-Odah yang terkenal dengan pandangan progresif mengenai syariah dan homoseksual; ahli akademik dan juga pengarang, Awad al-Qarni serta Ali al-Omari yang merupakan penyiar terkenal.

Dua sumber kerajaan itu mengesahkan rancangan hukuman terhadap ketiga-tiga ulama itu yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Khas Jenayah di Riyadh.

Pendengaran kes ditetapkan pada 1 Mei lalu tetapi ditangguhkan tanpa menetapkan tarikh terbaru.

“Mereka tidak akan menunggu untuk melaksanakan hukuman terhadap mereka sebaik sahaja hukuman mati diluluskan,” kata sumber pertama.

Manakala sumber ke-2 pula berkata kerajaan Saudi memutuskan untuk meneruskan rancangan menjatuhi hukuman itu terhadap tokoh terkenal terbabit selepas mendapati hanya terdapat sedikit reaksi antarabangsa, terutama di peringkat kerajaan dan ketua negara.

Salman ditahan pada September 2017 kerana didakwa mempersoalkan pemerintahan beraja mutlak di negara itu.

Beliau yang mempunyai 14 juta pengikut Twitter, pernah dipenjarakan pada 1994-1999 kerana menyokong perubahan politik.

Antara kiriman Twitter terakhirnya ialah mengalu-alukan usaha menyelesaikan pertikaian antara Qatar dan 4 negara Arab termasuk Arab Saudi.

Manakala Awad yang juga berpengaruh di media sosial dengan 2.2 juta pengikut Twitter, ditahan kerana menyokong sebarang langkah menyelesaikan permusuhan dengan Qatar.

April lalu, Arab Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap 37 rakyatnya yang disabitkan dengan jenayah keganasan.

Mereka dihukum mati “kerana mengadaptasi pemikiran pengganas dan ekstremis dan membentuk sel pengganas untuk merosakkan dan menjejaskan keselamatan”, menurut media rasmi, Saudi Press Agency.