Akhirnya… Jambatan angkat dibuka kepada orang ramai 2 Jun

“Jambatan angkat” atau “drawbridge” yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun hingga 17 Jun ini sebagai percubaan kepada prestasi sistem operasinya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata selepas itu, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu akan ditutup semula bagi melihat dan menambah baik kelancaran operasinya dan dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir Jun.

“Kami akan buka sebagai testing untuk orang ramai lalu sempena Hari Raya ini, dan kami akan tengok balik dan dijangka dibuka sepenuhnya akhir Jun.

“Sekarang ini jambatan itu sudah siap 99 peratus. Yang lagi satu peratus itu adalah kerja-kerja finishing seperti pemasangan papan tanda jalan,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Kenapa dipanggil Jambatan angkat? Ia kerana jambatan ini boleh diangkat di pertengahannya untuk memudahkan laluan kapal-kapal besar.

Ia mengambil masa 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).

Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 manakala tingkat 13 pula menempatkan ruang solat dan bilik air.

Di bahagian selatan pula ada galeri untuk orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu malam.

Apa yang menariknya di jambatan ini, ada beberapa kawasan sekitarnya yang cukup indah untuk anda ambil gambar.

Antaranya di Taman selera Tanjung, Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Kalau anda berkesempatan datang ke sini, jangan lupa menikmati hidangan popular kerang bakar sambil berlatarbelakangkan panorama indah ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]