Matrikulasi: Pemuda DAP saran kerajaan utamakan B40

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee memohon Kementerian Pendidikan menyelesaikan ketidaksamarataan dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemimpin Pemuda DAP menyarankan kerajaan mengutamakan golongan berpendapatan rendah (B40) berbanding M40 dan T20 dalam pemberian kuota program matrikulasi.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee berkata golongan M40 dan T20 juga daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, tetapi mereka adalah golongan yang berkemampuan dan tidak memerlukan bantuan kerajaan.

“Hakikatnya, soal memperkasakan B40 ini merentasi soal kaum, dan kerana orang Melayu merupakan penduduk majoriti, ia akan tetap memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan kerajaan mengekalkan kuota untuk Bumiputera dalam program matrikulasi, baru-baru ini mendorong beberapa perbahasan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan program matrikulasi yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera bagi menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu di mana majikan lebih memilih pekerja yang mahir berbahasa Mandarin.

Kenyataannya bagaimanapun menimbulkan kemarahan pelbagai kumpulan, termasuk MCA.

Howard bagaimanapun berkata kenyataan Maszlee dianggap satu pandangan peribadi dan bukan pendirian kerajaan persekutuan.

Katanya, Maszlee tidak perlu tunduk dengan retorik kaum yang dengan mudahnya dijadikan senjata oleh kumpulan ketuanan kaum.

“Sebagai menteri, beliau tidak sepatutnya menggunakan bahasa seperti seorang jagoan politik. Beliau jauh lebih baik, berpendidikan tinggi dan tentunya seorang ilmuan yang bijak.

“Semoga Maszlee dapat menarik balik kenyataannya yang kini dijadikan senjata perkauman oleh golongan tertentu, dan kembali berpegang dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan yang bersemangat muhibah dan bertekad membantu semua kaum, khususnya golongan majoriti B40,” katanya.

Howard juga mengemukakan 5 cadangan Pemuda DAP kepada Maszlee mengenai isu matrikulasi iaitu memohon Kementerian Pendidikan menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi.

Katanya, ini bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar STPM dan matrikulasi.

Adun Pasir Pinji itu juga berpendapat perbahasan mengenai laluan ke universiti awam melalui STPM dan matrikulasi sering kali tersasar daripada akar permasalahan sebenar.

Katanya, rata-rata daripada masyarakat termasuk pihak media dan sesetengah sarjana terlalu taksub dengan persoalan “siapa yang dapat masuk universiti melalui laluan mana”.

Beliau juga akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hal-ehwal Pengajian Tinggi di peringkat sayap Pemuda Harapan Nasional.

“Ini untuk kita sama-sama mengusahakan satu penyelesaian demi belia, negara dan bangsa Malaysia.

“Saya yakin perkara ini akan dibincangkan secara mendalam dalam Kabinet, dan Ketua Pemuda Harapan Nasional selaku ahli Kabinet akan menyampaikan suara anak muda dari segenap masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum.

“Aktiviti kokurikulum bawah matrikulasi seharusnya mempungai nilai merit yang sama seperti STPM,” katanya.