Melaka berdepan catuan air jika tiada hujan sehingga 15 Jun, kata KM

MELAKA: Rakyat Melaka bakal berhadapan catuan bekalan air sekiranya negeri itu tidak menerima hujan sehingga 15 Jun depan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri melaksanakan pembenihan awan minggu lepas, hujan hanya berlaku di luar kawasan tadahan air.

Katanya situasi itu tidak menyumbang pada peningkatan paras air di Empangan Durian Tunggal yang kini mencatatkan bacaan 37.8%.

“Setakat ini, Empangan Durian Tunggal paling terjejas iaitu paras air berada pada bacaan 37.8% berbanding Empangan Jus (66.4%) dan Empangan Asahan (62.5%).

“Buat masa ini ia masih belum sampai ke tahap untuk mencatu bekalan air, namun sekiranya hujan tidak turun sehingga 15 Jun depan dan usaha yang dilakukan tidak berhasil maka catuan terpaksa dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka hari ini.

Kerajaan negeri akan terus melakukan beberapa pelan kontingensi bagi meningkatkan paras air di Empangan Durian Tunggal dan memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Antara langkah yang dilakukan ialah memohon bekalan air mentah tambahan daripada kerajaan Johor melalui Sungai Gersik untuk dipam ke Empangan Durian Tunggal.

Adly berkata bekalan air di Empangan Jus juga akan dipam ke Empangan Durian Tunggal agar paras air dapat ditingkatkan sekali gus menampung keperluan penduduk khususnya di daerah Melaka Tengah.