Menteri termuda Sabah mahu tangani isu kesihatan mental
Ginger Phoong bersetuju kemurungan dalam kalangan belia semakin meningkat di Malaysia, termasuk di Sabah.
KOTA KINABALU: Ginger Phoong menjadi menteri paling muda di Sabah apabila beliau mengangkat sumpah sebagai menteri belia dan sukan negeri, semalam.
Pelantikannya berlaku ketika masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja manjadi perhatian apabila media baru-baru ini melaporkan seorang gadis 16 tahun membunuh diri di Sarawak.
Adun Luyang berusia 30 tahun itu bersetuju kemurungan dalam kalangan belia semakin meningkat di Malaysia, termasuk di Sabah.
Phoong berkata seperti Menteri Belia dan Sukan persekutuan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau bimbang dengan isu berkaitan keadaan mental generasi muda.
Beliau berkata menangani isu itu akan menjadi salah satu keutamaannya.
“Menyedihkan, terdapat kekurangan yang serius dalam kesedaran kesihatan mental di Sabah. Kesihatan mental yang buruk boleh menyebabkan akibat yang serius dan menjejaskan kualiti kehidupan keseluruhannya dalam kalangan remaja kita,” katanya kepada FMT.
Phoong dinamakan sebagai pengganti kepada bekas menteri Frankie Poon yang dilantik sebagai menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah. Poon sendiri dilantik ke jawatan itu selepas kematian pengerusi DAP Sabah Stephen Wong pada 28 Mac.
Meskipun masih muda dan tiada berpengalaman, Phoong yakin beliau adalah individu yang layak untuk tugas itu.
“Saya berharap dapat membawa mesej ini melalui pelaksanaan dasar-dasar yang menumpukan kepada peningkatan kesejahteraan secara menyeluruh dalam kalangan belia.
“Saya tentu akan bekerja rapat dengan kementerian-kementerian lain yang berkaitan seperti kementerian kesihatan dan pendidikan, dan berkongsi sumber untuk membuat rancangan yang boleh meningkatkan kesejahteraan belia kita,” katanya.
Setiausaha publisiti DAP Sabah itu percaya peningkatan kemudahan sukan dan rekreasi merupakan salah satu cara untuk menangani perkara itu.
“Saya telah melaksanakan satu projek untuk membaiki semua gelanggang bola keranjang di kawasan saya serta meningkatkan kesedaran kesihatan mental melalui ceramah dan bengkel yang menggalakkan tingkah laku mencari bantuan dan beberapa asas kemahiran mengurangkan tekanan,” kata Phoong.
Beliau merancang untuk mengukuhkan institusi keluarga sambil menangani buli siber.
“Ya, nilai keluarga dan kerosakan komunikasi boleh menjadi salah satu faktor. Tetapi ada juga yang lain seperti buli, termasuk buli siber, di mana anak muda mengalaminya di sekolah dan insiden seperti perpisahan dan penceraian ibu bapa.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Semua ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan jika seseorang tidak mendapat sokongan yang mencukupi dari rakan atau keluarga, atau meminta pertolongan daripada profesional.”