Pemandu teksi protes ‘layanan istimewa’ kepada pemandu e-hailing

Persatuan pemandu teksi mendakwa syarikat e-hailing seperti Grab diberikan layanan istimewa oleh Kementerian Pengangkutan.

PETALING JAYA: Dua persatuan yang mewakili pemandu teksi membidas Kementerian Pengangkutan kerana membenarkan pemandu e-hailing membuat permohonan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) secara atas talian, mengatakan ia memberi layanan istimewa kepada syarikat sedemikian seperti Grab.

Di Putrajaya, Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), sebuah persekutuan mewakili 200 persatuan teksi, menyerahkan satu memorandum kepada Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra yang meminta campur tangan beliau dalam pertikaian itu.

Bernama melaporkan, persekutuan itu tidak berpuas hati apabila syarikat e-hailing seperti Grab diberikan layanan istimewa dan menuntut layanan sama rata diberikan kepada pemandu teksi.

Memorandum tersebut diterima oleh seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Bernama, Presiden GTSM Kamarudin Mohd Hussain membuat laporan terhadap Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Loke menyalahgunakan kedudukannya dalam isu pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing.

Di Kuala Lumpur, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd berkata, ia mahu kerajaan menarik balik keputusannya membenarkan permohonan lesen PSV dibuat secara atas talian dalam tempoh 72 jam akan datang.

Sekiranya kerajaan gagal memenuhi permintaan itu, pemandu teksi di seluruh negara akan mengadakan protes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Langkawi.

“Protes akan diadakan sebulan selepas Hari Raya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kami terhadap menteri pengangkutan, yang kelihatan mengutamakan pemandu Grab berbanding kami,” kata penasihat syarikat itu, Shamsubahrin Ismail.

“Sebelum itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan ketua polis negara dan peguam negara bagi mendapatkan nasihat berhubung undang-undang berkaitan industri teksi. Selepas pertemuan dengan mereka, tarikh protes akan ditetapkan dan saya akan menghimpunkan semua pemandu teksi supaya ikut serta,” katanya.

Shamsubahrin menyifatkan keputusan kementerian membenarkan pemandu e-hailing memohon PSV secara atas talian sebagai “berat sebelah”.

Katanya, kementerian sepatutnya lebih telus dan adil kerana pemandu teksi perlu mengikuti kelas sebelum memperoleh lesen mereka.

Walaupun ahli Big Blue Taxi kini boleh mengambil ujian itu secara atas talian, namun katanya sistem itu terdedah kepada salah guna.

“Kami sedar tentang kebaikan mengambil lesen PSV secara atas talian, tetapi terdapat banyak faktor yang perlu diperhalusi.

“Lebih penting, bagaimana kita mahu memastikan ujian berkenaan diambil oleh pemandu itu sendiri?

“Malah kami menerima aduan sesetengah pemandu e-panggilan tidak mahir berbahasa Malaysia, jadi bagaimanakah mereka mahu mengambil ujian itu secara atas talian,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Shamsubahrin berkata, sekiranya kementerian tidak mahu berbalik kepada perjanjian asal tidak membenarkan ujian lesen PSV diambil secara atas talian, maka ia perlu “membatalkan semua lesen teksi dan benarkan kereta persendirian dijadikan kenderaan e-hailing”.

“Dengan cara ini kami berharap akan wujud persaingan lebih sihat kerana pemandu teksi sebelum ini perlu melalui prosedur mendapatkan lesen yang ketat,” katanya.

Di bawah peraturan baru yang diumumkan baru-baru ini, pemandu e-hailing mesti memohon lesen PSV sebelum 12 Julai. Mereka juga perlu menginsuranskan kenderaan masing-masing.

Kenderaan berusia lebih 3 tahun juga perlu dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.