Penganalisis gesa kerajaan tamatkan polemik matrikulasi

Bekas exco Pulau Pinang Toh Kin Woon berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk pembaharuan sistem pendidikan.

PETALING JAYA: Bekas exco Pulau Pinang Toh Kin Woon menggesa kerajaan mengelak daripada polemik mengenai kuota program matrikulasi dan terus memberi tumpuan kepada apa yang beliau sebut sebagai pembaharuan pendidikan “tulen”.

Toh yang kini penyelidik dengan Penang Institute, berkata semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, melihat pendidikan sebagai isu utama.

“Pada satu tahap, kita perlu tamatkan perdebatan mengenai isu matrikulasi dan terus dengan isu yang lebih penting, iaitu untuk memperbaharui sistem pendidikan kita.

“Tidak dinafikan kualiti sistem pendidikan kita semakin merosot,” katanya.

Keputusan kerajaan mengekalkan kuota untuk Bumiputera dalam program matrikulasi, baru-baru ini mendorong beberapa perbahasan.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan program matrikulasi yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera bagi menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu di mana majikan lebih memilih pekerja yang mahir berbahasa Mandarin. Kenyataannya bagaimanapun menimbulkan kemarahan pelbagai kumpulan, termasuk MCA.

Toh yang juga bekas pensyarah, berkata kerajaan perlu mengadakan peperiksaan tunggal untuk kemasukan ke universiti awam.

“Pelajar harus dinilai berdasarkan merit mereka untuk kemasukan ke universiti. Pada masa ini, kerajaan memperkenalkan faktor etnik dalam pengambilan pelajar, ia pasti mewujudkan ketidakpuasan,” katanya.

Beliau berkata Maszlee, sejak memegang jawatannya sekarang, tidak banyak membincangkan mengenai peningkatan sistem pendidikan untuk meneruskan cabaran seperti penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan dalam bidang pembuatan.

“Menteri itu perlu memberi perhatian kepada bidang di mana pelajar mesti mempunyai asas yang kukuh dalam Sains dan Matematik. Dia mesti mencari cara meningkatkan kualiti guru yang mengajar mata pelajaran ini,” katanya.