Rasuah bekal alat kereta perisai: ‘Datuk’ direman 4 hari

SPRM menjalankan siasatan lanjut terhadap bekas pegawai kanan syarikat swasta bergelar ‘Datuk’ mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai kanan syarikat swasta bergelar “Datuk” direman 4 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM135 juta berkaitan pembelian kereta perisai.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM pada 10.40 malam semalam.

Menurut sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM 7.5 bilion daripada kerajaan.

Katanya siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 billion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta.

Suspek merupakan individu ke-2 yang dipanggil selepas bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan pada 20 Mei.

Pada Isnin, seorang pemilik syarikat bergelar “Datuk Seri” direman selama 4 hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta perisai itu kepada orang-orang tertentu.

Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan pada 20 Mei.

Pada 12 Mei lalu, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar “Datuk” bersama seorang wanita yang juga ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat terbabit turut ditahan SPRM.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi beberapa orang pegawai suruhanjaya itu.