Azahar Mohamed pangku tugas hakim besar Malaya sementara tunggu keputusan Putrajaya

Azahar Mohamed pernah menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

PUTRAJAYA: Hakim kanan Mahkamah Persekutuan, Azahar Mohamed akan memangku tugas hakim besar Malaya sehingga kekosongan jawatan itu diisi, kata Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam satu surat yang dilihat FMT, Tengku Maimun berkata, Azahar akan diberikan kuasa untuk menjalankan tugas yang termasuk fungsi seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, arahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 9 (3) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Ketua unit komunikasi korporat Mahkamah Persekutuan, Suzarika Sahak mengesahkan pelantikan itu berkuat kuasa 21 Mei lalu.

Keperluan melantik hakim Mahkamah Persekutuan melakukan tugas dan fungsi hakim besar Malaysia itu susulan persaraan Zaharah Ibrahim pada 16 Mei lalu.

Kerajaan dijangka mengumumkan pelantikan hakim besar Malaya tidak lama lagi.

FMT pada 10 Mei lalu melaporkan Azahar dan seorang lagi hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusuf dikatakan antara calon bagi jawatan ketiga kanan dalam badan kehakiman negara.

Azahar, 63, yang mempunyai pengalaman luas di Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014.

Beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 2004, sebelum menjadi hakim Mahkamah Tinggi 2 tahun kemudian dan hakim Mahkamah Rayuan pada 2011.

Azahar pernah menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang mengesyorkan kenaikan pangkat hakim.

Rohana, 63, dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005 dan hakim Mahkamah Tinggi pada 2011, sebelum menjadi hakim Mahkamahh Rayuan pada 2013 serta Mahkamah Persekutuan tahun lalu.