Kit Siang batal debat dengan Najib setelah ‘dihujani nasihat’ rakyat Malaysia

Lim Kit Siang menyahut cabaran Najib Razak untuk berdebat semalam.

PETALING JAYA: Lim Kit Siang hari ini menarik diri daripada perdebatan dengan Najib Razak, sehari selepas beliau menyahut cabaran bekas perdana menteri itu dengan syarat tajuknya perlu memfokuskan “kleptokrasi”.

Pemimpin veteran DAP itu mendakwa ramai rakyat Malaysia menasihatkannya tidak meneruskan perdebatan itu kerana bimbang ia akan bertukar menjadi “konflik orang Melayu lawan Cina”.

“Saya memutuskan tidak meneruskan debat dengan Najib,” kata Lim sambil menambah beliau tahu dirinya akan digelar penakut disebabkan keputusan itu.

“Politik selama 53 tahun saya ialah buku terbuka untuk rakyat Malaysia menilai sama ada saya penakut atau tidak, dan saya sentiasa bersedia untuk dinilai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganalisis berkata, debat itu merupakan peluang kepada Najib untuk meluaskan sokongan kepada beliau dan mengalihkan tumpuan orang ramai daripada dakwaan salah laku yang dihadapinya.

Najib sebelum ini mencadangkan debat itu diadakan selepas Hari Raya dan disiarkan secara langsung. Beliau juga berharap topik lain turut dibincangkan.

Walaupun tidak menyebut topik yang dimaksudkannya Najib kerap mengkritik kerajaan Pakatan Harapan berhubung dasarnya, termasuk pusingan-U Putrajaya dan isu berkaitan keadaan ekonomi negera.

“Dia boleh bertanya apa-apa kepada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa kepadanya. Atas semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran,” katanya.

Veteran DAP itu di satu pihak kerap mengingatkan orang ramai tentang salah laku Najib.

Lim berkata, beliau tiada halangan topik lain turut dibincangan semasa debat tersebut, tetapi tajuk debat tidak harus diubah.

Beliau berkata, tajuk itu hendaklah dimaklumkan dengan jelas iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagimana kita boleh menjadikannya negara berintegriti”.