KPM hargai IPT tawar biasiswa lebih RM11 juta kepada pelajar Palestin

Kementerian Pendidikan berkata menjadi kelaziman universiti tempatan menawarkan biasiswa sama ada kepada pelajar Malaysia atau pelajar antarabangsa.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan menghargai komitmen dan keprihatinan 12 pusat pendidikan tinggi (IPT) yang menyediakan biasiswa lebih RM10 juta kepada pelajar Palestin mengikuti pengajian di Malaysia seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam.

Mengulas pendirian beberapa pihak yang mempersoalkan pemberian biasiswa itu, ketua pengarah pendidikan tinggi, Siti Hamisah Tapsir berkata, memandangkan dana penajaan itu adalah dari sumber kewangan universiti masing-masing, pihaknya ingin menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada kesemua 12 universiti terbabit atas sumbangan yang besar nilainya dalam lanskap pendidikan tinggi negara dan berharap semangat ini dicontohi oleh institusi pengajian tinggi yang lain.

Kata beliau, menjadi kelaziman universiti tempatan untuk menawarkan biasiswa pada setiap tahun sama ada kepada pelajar Malaysia atau pelajar antarabangsa.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja universiti swasta di negara ini telah menawarkan biasiswa bernilai lebih RM100 juta kepada pelajar tempatan.

“Sebagai contoh, Al-Bukhary International University adalah sebuah universiti swasta di Malaysia berlandaskan konsep “philanthropy” yang menawarkan biasiswa kepada pelajar dari negara yang dilanda peperangan agar mereka dapat pulang dan membangunkan semula negara masing-masing.

“Usaha murni tersebut juga telah menarik minat universiti swasta yang lain dan telah dipanjangkan kepada pelajar dari Palestin,” kata beliau dalam satu kenyataan media petang ini.

Semalam Dr Mahathir berkata, kerajaan bersetuju untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin yang ingin menyambung pelajaran ke menara gading, sama ada di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana atau ijazah doktor falsafah.

Biasiswa itu akan diuruskan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan ditawarkan untuk 12 universiti dalam negara.

Dr Mahathir juga mengumumkan Kementerian Pendidkan dimaklumkan sebanyak RM11.4 juta dana berjaya dikumpulan untuk biaya siswa Palestin itu.

Perdana menteri sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia membela nasib Palestin dan mempertahankan haknya.

Hamisah berkata, perkembangan itu menunjukkan komitmen dan keprihatinan universiti terbabit dalam meningkatkan kecemerlangan akademik bukan hanya di universiti masing-masing, tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak Palestin berpotensi dari negara yang sedang dilanda peperangan untuk mereka mengembangkan ilmu di menara gading.

“Kesudian universiti berkenaan menawarkan biasiswa kepada anak-anak Palestin pada 22 Mei 2019 bersempena bulan Ramadan yang mulia ini merupakan inisiatif khas melambangkan solidariti warga pendidikan tinggi dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang tertindas.”

Universiti yang menyediakan biasiswa itu terdiri daripada Albukhary International University menyediakan 25 biasiswa bernilai RM3,500,000; Management & Science University (RM1 juta, 20); Mahsa University (RM1.094 juta, 20 biasiswa), Kolej Universiti Islam Perlis (RM1.020 juta, 15), City University (RM1 juta, 26 biasiswa), Multimedia University (RM1 juta, 6), Universiti Teknologi Petronas (RM681,500, 6 biasiswa), UCSI University (RM719,433, 5), Universiti Tenaga Nasional (RM575,000, 3), Sunway University (RM500,000, 3 biasiswa), Universiti Kuala Lumpur (RM158,400, 2) dan Universiti Utara Malaysia (RM128,000, 2 biasiswa)