Menteri cadang kelas latihan terbuka untuk pekerja lepas masa pejabat

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, kerajaan mahu meningkatkan jumlah pekerja mahir negara kepada 35% menjelang tahun depan.

KAJANG: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran mencadangkan supaya kerajaan dan pusat latihan vokasional swasta di negara ini beropersai selepas waktu pejabat dan hujung minggu bagi membolehkan pekerja mengikuti kelas latihan dan meningkatkan kemahiran mereka.

Beliau berkata, langkah ini selari dengan rancangan kerajaan mahu meningkatkan jumlah pekerja mahir negara kepada 35% menjelang tahun depan.

“Pada masa ini kita ada 28% pekerja mahir dan jumlah ini sangat rendah berbanding negara jiran kita Singapura yang mempunyai 50% pekerja mahir.

Katanya, kerajaan akan menyediakan kursus latihan percuma kepada pelajar dan individu daripada kelompok B40.

“Mereka (pekerja) diperlukan dalam pelbagai industri,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di sini, hari ini.

MoU antara kementerian dengan Dong Zong itu bertujuan mencapai matlamat kerajaan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selain menyediakan pekerja mahir untuk pelbagai industri.

Kula berkata, masalah dalam kalangan rakyat Malaysia ialah mereka lebih menekankan pencapaian akademik, bukannya sudut kemahiran praktikal.

“Terdapat banyak industri yang memerlukan pekerja mahir. Negara luar juga menekankan kepentingan kursus TVET.

“Kita berharap untuk bergerak daripada akademik kepada TVET,” katanya.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim, yang turut hadir berkata, enrolmen orang Cina dalam bidang TVET sangat rendah.

“Kita berada dalam era berbeza. Kita kini berdepan dengan Revolusi Industri ke-4.

“Inilah masanya kita perlukan ramai orang yang mempunyai kemahiran teknikal dan mereka boleh menarik syarikat asing melabur di sini,” katanya.

Tan berkata, pelajar dari sekolah persendirian Cina boleh mengikuti kursus TVET yang disediakan oleh kerajaan asalkan mereka berminat dalam subjek yang berkaitan.

Dalam pada itu Kula juga berkata, Kabinet telah bermesyuarat semalam bagi membincangkan isu pekerjaan dan pekerja asing.

“Bagaimanapun kita belum membuat apa-apa keputusan dalam perbincangan 3 jam itu,” katanya.