MUET diguna sejak 2017, dinilai ikut kelayakan Eropah, kata KPM

Kementerian Pendidikan sedang mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dipilih sebagai ujian penguasaan bahasa Inggeris untuk guru opsyen bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan mereka sejak 2017.

Katanya, MUET juga digunakan untuk guru opsyen bahasa Inggeris yang belum mencapai tahap kelayakan penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

“MUET dipilih kerana ia merupakan ujian yang dibina menggunakan kepakaran tempatan, dinilai berlandaskan CEFR, dilaksanakan 3 kali setahun di seluruh Malaysia dan lebih murah berbanding ujian lain,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata, selain MUET, ia turut membenarkan guru menduduki ujian yang dijajarkan kepada CEFR seperti Aptis dan Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS).

“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris dengan memastikan hanya guru yang cemerlang diserap masuk atau dilantik.

“KPM tidak berkompromi dengan syarat kelayakan calon guru opsyen bahasa Inggeris yang berkelayakan bagi memastikan kualiti bahasa Inggeris murid di sekolah mencapai tahap ditetapkan supaya dapat melahirkan modal insan berdaya saing dalam pasaran global.”

Segala inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan, katanya, seiring sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025, iaitu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris dan juga murid.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang yang baru-baru ini meminta KPM dan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid berbanding menuding jari kepada tahap penguasaan oleh guru.

Katanya, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen bahasa Inggeris menduduki MUET.

“Pada tanggapan kami, selain kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris, mungkin ada faktor lain seperti persekitaran, motivasi murid seperti SPM yang tidak mewajibkan untuk lulus subjek bahasa Inggeris dan sebagainya, maka kita kena duduk semeja untuk tahu apakah faktornya.”

Pada 14 April lepas, Ketua Pengarah Pendidikan, Amin Senin dalam satu pekeliling mengarahkan guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki ujian MUET bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa itu selari keperluan termaktub dalam PPPM.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata, pihaknya mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris.

“Langkah jangka pendek merangkumi penawaran lantikan baru kepada guru opsyen bahasa Inggeris yang bersara awal, penawaran program KPLI/DPLI opsyen bahasa Inggeris, penempatan semula guru opsyen bahasa Inggeris, pelantikan guru baru opsyen bahasa Inggeris dipercepatkan bagi memenuhi kekosongan serta pelantikan guru opsyen bahasa Inggeris daripada bekalan pasaran terbuka seperti guru interim/kontrak opsyen bahasa Inggeris.”

Katanya, KPM dalam usaha menempatkan 500 guru interim di sekolah rendah dan menengah.

“Mereka perlu menghadiri Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) untuk disahkan dalam jawatan sebagai guru opsyen bahasa Inggeris selepas 3 tahun.”

KPM berkata, langkah jangka panjang pula merangkumi pertambahan bilangan pengambilan pelajar opsyen bahasa Inggeris oleh institut pendidikan guru dan universiti awam serta penempatan guru opsyen bahasa Inggeris oleh pejabat pendidikan daerah.