Najib nafi cubaan tangguh perbicaraannya

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak yang menolak dakwaan beliau cuba menangguhkan perbicaraan pertuduhan jenayahnya, berkata ia bergerak lebih cepat daripada kes berprofil tinggi Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

“Kes Lim tangguh hampir 30 bulan dan dalam kes Anwar, ia tangguh 66 kali,” katanya dalam temubual dengan FMT.

Pada 2016, Lim berdepan dakwaan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran. Pertuduhan itu digugurkan selepas pilihan raya umum ke-14.

Anwar disabitkan bersalah dalam kes liwat pada 2015 selepas perbicaraan kira-kira 5 tahun. Beliau mendapat pengampunan diraja tahun lalu atas dasar berlaku kesilapan mahkamah.

Najib yang berdepan dakwaan pengubahan wang, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, menyalahkan pihak pendakwaan atas kelewatan perbicaraannya kerana mereka meminta penangguhan bagi beberapa kes.

Merujuk permohonan penanggguhan oleh peguamnya untuk membolehkan mereka membuat rayuan interlokutori, beliau mengaitkannya kepada kesilapan pihak pendakwaan.

Bulan lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang perbincangan awam mengenai merit kesnya dan untuk mendapatkan dokumen tambahan daripada pihak pendakwaan.

Ia turut menerbalikkan keputusan Mahkamah Rayuan yang pihak pendakwaan perlu menunjukkan surat pelantikan pendakwa raya sementara, Sulaiman Abdullah.

Pengkritik Najib mendakwa rayuan itu adalah taktik menangguhkan perbicaraan, tetapi ahli Parlimen Pekan itu menuding jari kepada penghakiman Mahkamah Rayuan sebagai bukti beliau tidak cuba melengahkan kesnya.

Najib turut menyentuh masalah undang-undang ialah pengorbanan yang kadangkala perlu dihadapi ahli politik.

Beliau berkata, seteru politiknya “mendakwa kami melakukan bermacam-macam perkara” sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

“Selepas mereka menang, mereka perlu mengemukakan pertuduhan atau rakuat akan kata dakwaan mereka tidak berasas. Sama ada bukti mereka kukuh, itu perkara berbeza.”

Katanya, beliau mendesak siaran langsung prosiding perbicaraannya atau sekurang-kurangnya rakaman dalam mahkamah disiarkan kerana mahu orang ramai menilai sendiri keadilan perbicaraan kesnya.

Beliau mendakwa ada media tertentu yang dipergunakan untuk manfaat lawannya dan orang ramai tidak boleh mendapat gambaran betul jika mereka bergantung kepada laporan media.

“Mereka akan putar belit.”

Najib turut mendakwa kes terhadapnya dan individu lain yang berkaitan pentadbirannya dahulu tidak mengurangkan sokongan terhadap Barisan Nasional.

“Di peringkat akar umbi, adalah jelas rakyat menyokong BN lebih daripada PH hari ini.”

Beliau turut membidas mereka yang meninggalkan Umno dengan berkata, laporan di peringkat akar umbi menunjukkan wakil rakyat itu tidak mendapat sokongan di kawasan mereka.