Pembangkang Greece gesa rakyat undi perubahan politik Ahad
Pilihan raya Parlimen Eropah akan berlangsung di Greece pada 26 Mei bersama-sama pemilihan perbandaran dan wilayah.
ATHENS: Kyriakos Mitsotakis, pemimpin Parti Demokrasi Baru yang merupakan pembangkang utama Greece, menggesa rakyat negara itu mengundi untuk perubahan politik pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua.
Pilihan raya Parlimen Eropah akan berlangsung di Greece pada 26 Mei bersama-sama pemilihan perbandaran dan wilayah.
Parti konservatif itu menggesa pengundi membuat keputusan yang akan memaksa Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras mengadakan pilihan raya kilat lebih awal daripada Oktober tahun ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan berakhir.
Dari Peristeri, sebuah perbandaran kolar biru yang padat penduduknya di bahagian barat ibu kota Greece, Mitsotakis berjanji untuk menyatukan semua rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.
Merujuk kepada tinjauan pendapat baru-baru ini yang secara jelas menunjukkan bahawa partinya sedang mendahului parti radikal kiri Syriza yang memerintah, beliau kelihatan yakin mengenai keputusan pilihan raya pada Ahad ini.
“Kita seharusnya bersatu untuk memajukan Greece. Kita seharusnya menjadi pelopor perubahan politik utama yang akan membawa pelaburan, peluang pertumbuhan dan pekerjaan yang baik, jawatan bergaji tinggi, terutamanya untuk generasi muda.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kita harap mereka akan menjalani kehidupan yang lebih baik daripada bapa dan datuk mereka,” kata Mitsotakis semasa perhimpunan prapemilihan utama parti pada petang Rabu.