Pembeli NFC ada kepakaran, kata menteri

Salahuddin Ayub berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia membantu syarikat tempatan yang akan membeli NFC untuk meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran daging tempatan.

PUTRAJAYA: Pembeli baru National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) mempunyai kepakaran dalam industri ruminan dan diyakini tidak akan terjebak dalam salah laku seperti dahulu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Katanya, beliau diberi keyakinan isu NFC akan berakhir tidak lama lagi apabila syarikat itu bersedia membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan syarikat tempatan itu dalam membantu mereka meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran daging tempatan.

“Kita cuma mahu mereka patuhi semua syarat ditetapkan dan tidak menjejaskan kepentingan kementerian. Mereka diberi ruang sepenuhnya untuk membina industri ruminan pada masa akan datang,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Pengerusi NFC, Mohamad Salleh Ismail baru-baru ini dilaporkan berkata, NFC mempunyai pembeli baru sejak 25 Oktober lalu yang bersedia membayar balik baki pinjaman NFC sepenuhnya dalam masa 3 bulan daripada persetujuan kerajaan untuk penstrukturan semula NFC.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dilaporkan berkata, NFC belum melunaskan hutang pinjaman dengan kerajaan berjumlah RM254 juta, termasuk faedah serta faedah lewat setakat 30 April lalu dan kerajaan mahu menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman itu.

AP dan IP

Salahuddin berkata, proses pemberian permit import (IP) dan kelulusan permit (AP) akan ditambah baik bagi menghentikan amalan “rent seeker” atau mengaut sewa oleh pihak tidak terbabit dalam industri pertanian.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan hanya mereka yang layak dan berpotensi diberikan AP serta IP untuk mengeksport dan mengimport produk pertanian.

“Apa yang kita ingin hapuskan ialah ‘rent seeker’. Kita dapati ada pihak yang tidak ada kilang dan tidak terlibat dalam industri, tetapi dapat AP dan IP…ini yang kita tidak mahu.”

Selain proses permohonan yang kini dibuat atas talian, katanya, kementerian juga akan mendapatkan pandangan dan saranan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) untuk menambah baik proses pemberian kontrak, AP serta IP untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dipilih.

Salahuddin berkata, beliau rimas dengan tindakan individu tertentu dan ahli politik yang menggunakan tiket politik untuk meminta projek, tender, AP dan IP di bawah kementeriannya.

Selaku orang politik, katanya, beliau juga mempunyai ahli dan penyokong parti yang perlu dilayan, tetapi beliau tidak akan melayan sekiranya permohonan mereka tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

“Kita akan cari prosedur paling tepat dan terbaik bagaimana AP, IP dan semua tender yang diberikan menepati ciri-ciri dan indeks yang boleh menjadikan kementerian ini contoh kepada kementerian lain dalam melaksanakan integriti.”