Polis serbu pejabat Deloitte berhubung siasatan 1MDB

Polis mengesahkan menyerbu pejabat firma audit Deloitte berkaitan siasatan 1MDB. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menyerbu pejabat juruaudit Deloitte dalam usaha mereka meningkatkan siasatan berhubung satu skandal rasuah bernilai berbilion ringgit, kata seorang pegawai.

Sejumlah besar wang didakwa dicuri daripada dana kerajaan Malaysia oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan kroni beliau yang dikatakan membelanjakan wang itu dengan membeli dari kapal layar ke lukisan langka.

Najib menafikan sebarang salah laku.

Deloitte mendapat perhatian siasatan selepas ia mengaudit kenyataan kewangan 1MDB bagi tahun 2013 dan 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis, Mazlan Mansor mengesahkan kepada AFP bahawa satu serbuan dibuat ke atas pejabat Deloitte “berhubung siasatan 1MDB”.

Polis merampas dokumen dan fail dalam operasi itu, lapor akhbar The Star.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mendenda syarikat itu RM2.2 juta pada Januari berhubung kesalahan melibatkan terbitan bon 1MDB.

Deloitte merupakan firma perakaunan utama ke-3 yang mengaudit 1MDB, selepas KPMG dan Ernst & Young.

Deloitte menamatkan khidmat sebagai juruaudit 1MDB pada 2016.

Pada tahun sama, firma itu berkata, auditnya ke atas kenyataan kewangan 1MDB tidak lagi boleh dipertahankan selepas AS memfailkan saman berkaitan skandal tersebut.

Pihak berkuasa AS mahu mendapatkan semula aset di negara itu yang didakwa dibeli dengan menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB. Sebanyak AS$4.5 bilion dipercayai dicuri daripada dana berkenaan.

Dakwaan berkenaan memainkan peranan utama dalam mempengaruhi pengundi supaya menolak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu selepas lebih 60 tahun berkuasa.

Beliau kini berdepan lebih 25 pertuduhan berkait skandal tersebut dan mula dibicarakan bulan lepas.