Putrajaya digesa batal kontrak syarikat kaut berjuta daripada visa pelajar

Gobi Krishnan (3 dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Mahmood Kasim, setiausaha politik Maszlee Malik dengan disaksikan Pengerusi EMGS, Abdul Rahman Mohamed Shariff (2 dari kanan).

PUTRAJAYA: Sebuah parti politik baru yang diketuai bekas setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa Menteri Pendidikan, Maszlee Malik membatalkan satu kontrak yang ditandatangani kerajaan terdahulu dengan sebuah syarikat pada 2014 untuk menguruskan permohonan visa pelajar asing.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada pembantu Maszlee di Kementerian Pendidikan hari ini, Parti Negara yang ditubuhkan minggu lalu oleh bekas ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Nor, berkata syarikat itu mengaut keuntungan RM94 juta tahun lalu dan separuh daripada jumlah itu disebabkan kontraknya dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) milik Kementerian Pendidikan.

EMGS ditugaskan dengan pengurusan dan pemprosesan visa pelajar antarabangsa, termasuk perlindungan insurans kesihatan bagi pelajar asing.

Dalam memorandum hari ini, parti itu mendakwa syarikat terbabit mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap pelajar, tetapi tidak menawarkan sebarang perkhidmatan nilai tambah yang lain.

Bagaimanapun, katanya, semua urusan visa pelajar asing masih diuruskan Jabatan Imigresen.

Kontrak itu ditandatangani dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai Khaled Nordin, tetapi kini sudah dibubarkan.

Khaled ketika dihubungi FMT berkata, syarikat itu dipilih melalui tender terbuka.

“Sama ada ia menjalankan tugasnya atau tidak, terpulang kepada EMGS untuk jawab.”

FMT tidak menyiarkan nama syarikat itu sementara menunggu respons daripada pihak berkaitan.

Naib Presiden Penaja Parti Negara, S Gobi Krishnan mendakwa selepas kontrak itu diserahkan kepada EMGS dan syarikat itu, bayaran visa pelajar asing meningkat sebanyak 1,200% berbanding RM160 yang dikenakan Jabatan Imigresen sebelum itu.

Gobi turut mendakwa pegawai imigresen didapati ditempatkan di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, bukannya di Jabatan Imigresen.

“Ini adalah soal pelanggaran keselamatan negara,” katanya dalam memorandum itu yang diterima setiausaha politik Maszlee, Mahmood Kassim dan Pengerusi EMGS, Abdul Rahman Mohamed Shariff.

Abdul Rahman dan Mahmood berkata, kementerian itu dalam proses mengkaji cara membatalkan kontrak itu, tetapi tiada “jalan keluar” untuk berbuat demikian.

Gobi berkata, kementerian perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu dan mendapatkan kembali RM150 juta yang dibayar kepadanya sejak beberapa tahun lalu.

“Mengikut laporan kewangan syarikat itu pada 2018, jumlah pendapatan syarikat itu adalah RM94 juta.

“Daripada jumlah itu, RM49 juta disumbang oleh pendapatan daripada (kontrak dengan) EMGS.”

Gobi berkata, semua perkara berkaitan permohonan visa pelajar perlu diuruskan Jabatan Imigresen kerana tarikan Malaysia sebagai pusat pendidikan berdepan tamparan disebabkan bayaran tinggi untuk visa pelajar.