Rakyat yang nilai prestasi menteri, bukan individu tertentu, kata Azmin

Azmin Ali berkata perdana menteri sebelum ini menyatakan tidak berhasrat untuk merombak Kabinet walaupun sebahagian besarnya adalah muka baru.

KUALA LUMPUR: Rakyat yang boleh menilai prestasi seorang menteri, menteri besar atau exco dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, bukan individu tertentu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata malah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut menyatakan tidak berhasrat untuk merombak Kabinet walaupun sebahagian besarnya adalah muka baru, namun tetap komited menjalankan tugas dengan baik dalam tempoh singkat.

“Jadi beri mereka peluang untuk laksakanan tugas. Yang penting pasukan hari ini pasukan muda yang bertenaga, yang berintegriti dan bersedia bekerja kuat membina semula Malaysia dan ekonomi kita.

“Soal diterima rakyat atau tidak, itu kita serah kepada rakyat tapi saya yakin rakyat melihat kesan positif setelah setahun kita diberikan amanah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Iftar Perdana dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada penduduk DUN Gombak Setia semalam.

Azmin mengulas kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin dalam blognya yang menyatakan menteri, menteri besar dan exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.