Zahid gagal dalam cubaan terakhir dapatkan pasport tunai umrah

Zahid tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau berada di Pekan, Pahang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Ahmad Shah yang meninggal dunia semalam.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya daripada mahkamah untuk mengerjakan umrah.

Panel 5 anggota yang dipengerusikan Azahar Mohamed berkata, hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya dengan bijak dan mempertimbangkan semua faktor untuk menolak permohonan perayu.

“Beliau memberi alasan baik dan sah. Mahkamah Rayuan tidak akan campur tangan kecuali hakim itu menggunakan prinsip undang-undang yang salah,” katanya dalam keputusan sebulat suara.

Azahar berkata, hakim Mahkamah Tinggi turut mengambil kira bekas menteri dalam negeri itu berdepan pelbagai pertuduhan jenayah.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Rayuan turut mengesahkan penemuan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada 3 Mei lalu.

Zahid menyerahkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi pada November lalu, selepas mengaku tidak bersalah kepada 45 pertuduhan pengubahan wang, rasuah dan pecah amanah.

Dua lagi dakwaan pecah amanah difailkan terhadapnya pada Disember 2018 dan Februari lalu.

Perbicaraan kes Zahid akan bermula 18 hingga 22 November ini dan disambung pada 2 hingga 6 serta 9 hingga 13 Disember nanti.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid memberitahu panel itu yang hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan dalam menolak permohonan Zahid untuk mendapatkan pasportnya.

“Mahkamah rendah dalam penghakimannya tidak mempertimbangkan sama ada permohonan itu dibuat dengan niat baik.”

Timbalan pendakwa raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Zahid atas alasan beliau berdepan 47 pertuduhan.

“Kita tidak menghalang seseorang daripada menunaikan tanggungjawab agamanya. Tetapi, perayu ialah risiko penerbangan.”

Sazilee berkata, walaupun Zahid sudah mengemukakan tiket penerbangannya, ia tidak disertakan butiran jadualnya.

Zahid tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau berada di Pekan, Pahang untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang meninggal dunia semalam.

Panel itu pada mulanya mempersoalkan sama adan rayuan itu boleh diteruskan tanpa kehadiran Zahid.

Pihak pembelaan dan pendakwaan memberitahu panel itu, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan perayu tidak perlu hadir, dengan syarat beliau diwakili peguamnya.