5 fakta menarik mengenai Barcelona

Di Malaysia, jika kita bercakap mengenai kelab kegemaran Eropah selain daripada pasukan di Premier League pastinya nama Barcelona tidak akan tercicir.

Barcelona merupakan pasukan yang mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia.

Pasukan yang kaya dengan sejarah, kejuaraan yang tidak terbilang banyaknya serta barisan legenda yang pernah dan sedang menyarung jersi Barcelona membuatkan mereka cukup istimewa dalam kancah bola sepak.

Walaupun dikenali ramai namun masih ada yang belum cukup kenal dengan pasukan ini.

Ini 5 fakta menarik mengenai Barcelona yang mungkin anda tidak tahu.

5. Stadium terbesar di Eropah

Penyokong Barcelona boleh mendabik dada kerana pasukan mereka mempunyai stadium terbesar di Eropah.

Dibuka pada 1957 iaitu tahun yang sama negara kita mencapai kemerdekaan, kapasiti stadium Nou Camp – sebanyak 99, 354 tempat duduk.

Nou Camp mencapai kapasiti stadium sebesar itu selepas pembinaan semula dilakukan pada 1986 sempena Piala Dunia yang diadakan Sepanyol pada tahun tersebut.

Untuk rekod, Nou Camp pernah menampung seramai 120 ribu penonton ketika aksi European Cup pada 1986 sewaktu Barcelona menentang Juventus.

4. Penyokong Barcelona digelar “si punggung”

Gelaran ini cukup pelik dan agak tidak sopan dalam masa yang sama.

Namun itulah nama yang diberikan kepada penyokong Barcelona pada masa dahulu.

Sebelum era Nou Camp, Barcelona hanya mempunyai stadium kecil yang terletak di kawasan kejiranan iaitu Les Corts.

Apabila perlawanan besar berlangsung, stadium tersebut tidak mampu menampung jumlah penyokong tuan rumah yang datang.

Oleh itu, penyokong akan melimpahi setiap ruang stadium hinggalah ke tepi padang untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Bagi mereka yang lalu stadium itu dari luar, mereka tidak mampu untuk menjengah kepala mereka bagi melihat apa yang sedang berlaku di padang.

Ini kerana, ianya dilindungi oleh penyokong yang terlalu ramai dan mereka hanya boleh nampak bahagian belakang mereka sahaja termasuklah punggung mereka.

Oleh kerana itulah penyokong Barcelona dikenali sebagai “si punggung”!

3. Kelab yang dimiliki 100% oleh penyokong

Barcelona merupakan kelab yang cukup istimewa kerana walaupun mereka kelab utama dunia, tetapi ianya dimiliki secara penuh oleh penyokongnya.

Untuk rekod, seramai 140 ribu ahli berdaftar dikenali sebagai “socios” yang mempunyai kuasa sebagai pembuat keputusan bagi menentukan hala tuju kelab.

Sistem demokrasi yang diamalkan Barcelona ini tidak lagi dipakai oleh majoriti kelab di Eropah dan kerana itu mereka menggunakan slogan “mes que un club” atau “lebih daripada sebuah kelab”.

2. Akademi terulung La Masia

Dalam dunia bola sepak, terdapat beberapa pasukan yang terkenal dengan akademi mereka yang cukup hebat dalam melahirkan pemain berkualiti.

Salah satunya akademi La Masia milik Barcelona.

Untuk bertahun lamanya, mereka menghasilkan pemain berkualiti menerusi akademi ini.

Pemain seperti Pep Guardiola, Xavi Hernandez dan juga Andres Iniesta contoh graduan akademi La Masia.

Setiap graduan akademi ini disiapkan dengan DNA bola sepak Barcelona yang cukup unik.

Apa yang menarik mengenai kejayaan La Masia ini pada 2010, 3 pemain yang menjadi finalis Ballon d’Or pada tahun itu semuanya graduan akademi tersebut.

Mereka ialah Lionel Messi, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta.

1. Satu-satunya

Barcelona merupakan pasukan di Eropah yang mendefinisikan maksud penguasaan dalam bola sepak dengan cara sebenarnya.

Mereka merupakan satu-satunya pasukan di benua itu yang pernah memenangi 3 piala dalam satu musim atau “treble” lebih daripada sekali.

Kali pertama Barcelona melakukan sedemikian pada musim 2008/2009 apabila merangkul gelaran La Liga, Copa Del Rey dan UEFA Champions League di bawah kendalian Pep Guardiola.

Luis Enrique kemudiannya mengulangi kejayaan tersebut pada musim 2014/2015 ketika trio MSN (Messi, Suarez, Neymar) menjadi ancaman banyak pasukan lawan ketika itu.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]