9 jenis buah, sayur tinggi vitamin C berbanding oren sesuai untuk anak

Sebut saja pasal Vitamin C, kita akan terbayangkan buah oren.

Bila tengok buah oren pula, kita akan terbayangkan Vitamin C.

Macam sinonim betul Vitamin C dengan buah oren ni kan?

Memang betul buah oren mengandungi nilai Vitamin C yang baik, iaitu sekitar 70mg bagi setiap cawan.

Namun sebenarnya banyak lagi buah-buahan serta sayuran yang kaya dengan Vitamin C, malah jauh lebih tinggi berbanding buah oren.

Bukan apa, kadang-kadang ada juga yang tak suka buah oren sebab rasanya yang agak masam.

Jadi kalau nak tahu buah dan sayur apa yang lebih tinggi Vitamin C berbanding buah oren tu, jom tengok senarai di bawah ini.

SUBHEAD: 9 jenis buah & sayur lebih tinggi vitamin C berbanding oren. Sesuai untuk anak anda!

1. Jambu Batu

Jambu batu merupakan antara buah yang paling tinggi kandungan vitamin C.

Setiap cawan jambu batu mengandungi hampir 377mg vitamin C, iaitu sekitar 4-5 kali ganda lebih banyak berbanding buah oren!

Beruntunglah kita yang berada di negara tropika sebab buah jambu batu mudah didapati dan agak murah harganya berbanding buah-buahan lain.

Bukan itu saja, pengambilan sebiji buah jambu batu sehari saja telah melengkapkan hingga 140% keperluan vitamin C harian. Hebat kan?

2. Brokoli

Mungkin ada anak-anak kita yang cukup benci dengan brokoli.

Tapi ibu ayah patut tahu bahawa sayur ini pula bukan sahaja rendah kalori, malah kaya dengan vitamin C!

Dengan hanya 30 kalori secawan, ia mampu memberikan kebaikan vitamin C sebanyak 132mg.

Brokoli ini juga dikira sebagai “superfood” kerana mempunyai banyak khasiat, antaranya mampu melawan kanser, membekalkan tenaga, dan meningkatkan kesihatan jantung.

Jadi, kenalah pujuk anak makan brokoli ya!

3. Betik

Kebanyakan orang akan makan betik ketika ada masalah penghadaman kan?

Selain melawaskan, betik juga ada banyak kelebihan tersendiri seperti membantu mencerahkan kulit dan menguatkan tulang.

Satu cawan betik boleh memberikan kebaikan vitamin C sebanyak 88.3mg.

4. Strawberi

Warna yang merah dan ceria, semua orang pasti suka strawberi lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Bagi yang agak masam, boleh buat “smoothie” yang dicampur sedikit susu. Memang sedap!

Khasiat mineral lain di dalam strawberi mampu meningkatkan kesihatan jantung, mengawal kandungan gula dalam darah serta mengurangkan tekanan darah tinggi.

Vitamin C yang terkandung di dalamnya juga cukup banyak, iaitu sekitar 84.7mg secawan.

5. Kobis Bunga

Sejambak kobis bunga mampu membekalkan sehingga 127.7mg vitamin C serta mineral sampingan seperti serat, protein, vitamin K dan potassium.

Kobis bunga juga mempunyai kandungan unik yang mampu mencegah penyakit seperti kanser dan sakit jantung.

Dengan hanya 25 kalori secawan, ia juga merupakan pilihan baik untuk diamalkan bagi yang ingin mengawal berat badan.

6. Nanas

Satu lagi sebuah tropika ini memang cukup disukai ramai. Ada yang makan sebagai jeruk dan ada yang suka jadikan lauk dalam masakan.

Nanas bukan sahaja mempunyai kandungan vitamin C yang cukup tinggi (78.9mg), malah ia juga mengandungi bromelain, iaitu enzim khusus untuk memudahkan penghadaman serta mengurangkan risiko kembung.

Bukan itu sahaja, komponen ini juga bertindak sebagai agen anti-radang semulajadi.

7. Kiwi

2 biji buah kiwi pula mempunyai vitamin C sehingga 137.2mg.

Ia juga padat dengan mineral seperti kalium (potassium) dan kuprum (copper).

Satu kajian terkini juga mendapati kiwi mampu melancarkan sistem penghadaman serta meningkatkan kesihatan jantung dengan mengurangkan kandungan lemak dalam darah.

8. Kale

Sayuran salad ini sememangnya “superfood” yang patut diamalkan, terutamanya oleh kita yang dewasa.

Sayur ini mengandungi 2 kali ganda vitamin A dan 7 kali ganda vitamin K berbanding kuantiti pengambilan harian yang disyorkan.

Secawan sayur ini mengandungi sehingga 80.4mg vitamin C. Ia bukan sahaja kaya dengan pelbagai vitamin, malah merupakan sumber mineral dan asid lemak yang baik untuk tubuh.

9. Lada Benggala

Kalau jambu batu paling banyak vitamin C dalam kategori buah-buahan, lada benggala pula adalah antara “champion” bagi kandungan vitamin C dalam kategori sayuran.

Berbanding 70mg dalam oren, lada benggala atau capsicum ini mengandungi 240mg Vitamin C tau.

Jadi dah tahu ni, bila masak spageti, tom yam, ayam “black pepper”, atau apa-apa lauk yang sesuai, jangan lupa sertakan sekali lada benggala dalam masakan ya!

Pentingnya vitamin C untuk kanak-kanak

Umumnya kita disyorkan untuk mengambil sekitar 70mg hingga 90mg vitamin C dalam diet seharian.

Berbanding suplemen, eloklah makan sayur dan buah-buahan semulajadi yang lebih segar dan berkhasiat serta kaya dengan mineral lain untuk kesihatan menyeluruh.

Vitamin C amat penting bagi meningkatkan tahap imuniti badan daripada penyakit. Vitamin C juga bertindak sebagai antioksida yang mengawal kesihatan sel dalam badan.

Walaupun buah oren sering dikaitkan dengan kebaikan vitamin C, namun banyak lagi sayur dan buah yang dapat menandingi jumlah vitamin C dalam sebiji oren.

Sekarang dah tahu, kini anak-anak punya banyak pilihan lain untuk melengkapkan pengambilan vitamin C harian mereka. Kebanyakannya juga mudah didapati di pasaraya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]