Itu bukan cara kita, Singapura beritahu Malaysia berhubung rayuan pengampunan

Pannir Selvam Pranthaman sepatutnya menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura subuh tadi. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Singapura hari ini berkata, mustahil memberi pengampunan kepada rakyat Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati di negara itu kerana jumlah rakyat Malaysia yang ditangkap mengedar dadah semakin meningkat.

Ia susulan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman menangguhkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya pada 2017 kerana mengedar dadah pada 2014, di sebalik rayuan Putrajaya untuk negara itu meringankan hukuman berkenaan.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam berkata negara itu menghormati pendirian kerajaan Pakatan Harapan terhadap hukuman mati, tetapi ia mempunyai proses perundangan sendiri.

“Disebabkan ada permintaan, kami perlu melepaskannya? Itu bukan caranya di Singapura,” katanya dipetik The Straits Times.

Katanya, hampir 30% pengedar dadah yang ditahan di Singapura datang dari Malaysia dengan kira-kira 30% heroin yang dirampas, dibawa masuk rakyat Malaysia.

“Bagaimana kami boleh melepaskan rakyat Malaysia dengan statistik ini? Dan jika kami berbuat demikian, apakah maknanya kedaulatan undang-undang? Ia akan menjadi bahan gurauan.”

Pannir sepatutnya dihukum mati di Penjara Changi, Singapura subuh tadi.

Shanmugam berkata, kerajaannya tidak akan campur tangan dalam kes sedemikian dan rakyatnya menyokong pelaksanaan hukuman mati.