Kenapa Warisan gementar jika tak terlibat kempen kerakyatan, kata pembangkang

Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan meminta Warisan jangan menyalahkan pentadbiran lepas tentang masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Menjawab kenyataan Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr dan Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman, Kitingan berkata tiada siapa menafikan hal pendatang tanpa izin suatu masalah yang berlanjutan.

“Bagaimanapun, hanya menunjuk jari pada satu orang, iaitu bekas ketua menteri Musa Aman, adalah serangan yang tidak adil.

“Dakwaan-dakwaan tidak berasas daripada kedua-dua pemimpin Warisan itu mengenai penglibatan Musa dalam Projek IC berdasarkan perspektif seorang individu yang diterbitkan dalam sebuah buku.

“Tetapi apakah itu kajian yang konklusif? Adakah Musa pernah terbukti bersalah? Adakah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin membuktikan penglibatan Musa?

“Malah, dalam RCI itu, terdapat testimoni-testimoni mengatakan terdapat sindiket menjual Mykad ragu kepada pendatang tanpa izin,” katanya kepada FMT hari ini.

Kitingan bingung kenapa kedua-dua pemimpin Warisan itu perlu mengeluarkan kenyataan yang panjang, tindakan yang memberikan gambaran parti itu gementar walaupun selepas menafikan sebarang penglibatan dalam kempen kerakyatan.

Semalam, rakyat Sabah terkejut apabila gambar-gambar seperti borang Jabatan Pendaftaran Negara dengan lambang Warisan tersebar di media sosial.

JPN segera mengeluarkan kenyatan rasmi, menjelaskan borang tersebut bukan borang rasmi dan tiada kempen kerakyatan di Sabah ketika ini.

“Tidak kira sama ada lambang pada borang JPN palsu atau tidak, rakyat Sabah sangat curiga dengan usaha dokumentasi pendatang tanpa izin.

“Jika Warisan mahu melawan dakwaan mereka terlibat dalam usaha dokumentasi pendatang tanpa izin, mereka harus lebih kuat membasmi pendatang tanpa izin,” katanya.