Mahkamah keluar waran tangkap ke atas bekas ketua perisik

Hasanah Abdul Hamid (bertudung hitam) ialah bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang dituduh melakukan pecah amanah wang kerajaan, kerana tidak hadir pengurusan kesnya hari ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin membuat permohonan supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah, 61, kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan.

“Tertuduh tidak hadir, beliau (sebelum ini) telah dilepaskan dengan jaminan dan 2 penjamin. Bagaimanapun, tertuduh dan kedua-dua penjaminnya tidak hadir serta tiada apa-apa arahan dari mahkamah berhubung ketidakhadiran itu. Pohon waran tangkap dikeluarkan,” kata Mahadhir.

Peguam, Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah kerana beliau gagal memaklumkan tertuduh mengenai prosiding hari ini.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya sebagai peguam, saya harus memaklumkan anak guam saya untuk hadir, tetapi saya gagal untuk memaklumkan. Saya berharap anak guam saya tidak menerima sebarang kesan atas tindakan saya.”

Hakim kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan waran tangkap serta notis kepada penjamin.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media, waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh dan 2 penjaminnya hari ini.

Aifaa pula memberitahu berlaku salah faham kerana pihaknya beranggapan tiada prosiding hari ini kerana tarikh perbicaraan kes itu yang akan bermula 3 Februari 2020, sudah ditetapkan prosidingnya pada 17 April lalu.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam, iaitu ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu hingga 9 Mei 2018 di pejabatnya di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.