Mahkamah Singapura tangguh hukuman mati rakyat Malaysia

Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir Selvam Pranthaman menangguhkan hukuman mati dan membolehkannya mencabar proses pengampunan.

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura semalam membuat keputusan membenarkan permohonan rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir, 32, yang diwakili oleh peguam Too Xing Ji dan Lee Ji En dari BMS Law, dijadual menjalani hukuman mati pada subuh hari ini.

Dia mengemukakan permohonan itu sementara menunggu satu pencabaran ke atas penolakan pengampunan.

Surat daripada Presiden Singapura yang menolak pengampunan itu dan pemakluman hukuman itu kedua-duanya bertarikh 17 Mei, 2019 tetapi surat yang memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai hukuman mati itu dihantar pada 16 Mei 2019.

Permohonan Pannir didengar di hadapan Ketua Hakim, Sundaresh Menon dan 2 Hakim Rayuan, Judith Prakash dan Steven Chong.

Dalam keputusannya, Menon berkata, Pannir “perlu mempunyai peluang munasabah mendapatkan nasihat mengenai sama ada beliau boleh memenangi cabaran dengan penuh jaya.”

“Yang jelas, beliau dimaklumkan kedua-duanya iaitu penolakan petisyen pengampunan dan tarikh jadual hukuman mati hanya 1 minggu sebelumnya”.

Hakim berkenaan juga mengambil pertimbangan Too hanya timbul dalam gambaran sebagai peguam Pannir hari ini.

“Untuk berlaku adil terhadap beliau, kita tidak boleh menjangka beliau dalam keadaan mengemukakan satu hujah yang maju. Dalam keadaan itu kita merasakan hukuman itu perlu kekal sehingga perintah selanjutnya.

“Perayu mempunyai 2 minggu untuk mengemukakan permohonan hasratnya bersama-sama dengan sebarang bukti sokongan. Pendakwa raya mempunyai tempoh 2 minggu untuk menjawab.

“Kedua-dua pihak perlu mengemukakan rangka fail dalam masa 1 minggu respon oleh pendakwa raya dan perkara untuk menetapkan semula bagi perbicaraan dalam notis singkat,” kata Menon.

Pannir didapati bersalah pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84g diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014.

Yang turut hadir di mahkamah ialah keluarganya dan penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran dan pengarah eksekutif Latheefa Koya.

Sementara itu, bapa Pannir, Pranthaman Rajoo begitu gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan Singapura menangguhkan hukuman itu dan berkata beliau berdoa ia tidak sekejap sahaja.