Mahkamah tolak permohonan Rosmah ketepi notis isytihar harta

Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak pengisytiharan yang diminta Rosmah Mansor bahawa peruntukan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk memaksa beliau mengisytiharkan hartanya tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata undang-undang itu diformulasi untuk menangani kes pengubahan wang haram.

“Pihak berkuasa mesti diberikan pengaruh untuk menjalankan siasatan mereka secara berkesan, seperti mengenal pasti aset milik orang yang disyaki berhubung pengubahan wang haram,” katanya dalam penghakiman lisannya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada Rosmah bahawa anggapan tidak bersalah masih terpakai kepadanya dan beban bukti adalah pada pendakwaan untuk mengemukakan tuduhan bersalah dalam perbicaraan.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, memfailkan permohonan itu pada 24 Feb untuk mengenepikan notis yang dikeluarkan pendakwa raya pada 1 Nov tahun lalu untuk memaksa beliau mengisytiharkan semua asetnya di bawah Seksyen 49 Amla.

Kegagalan mematuhi notis itu adalah satu kesalahan yang boleh didenda maksimum RM3 juta, penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 4 Okt tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen bagi 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM7 juta.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Bhd di Jalan Ampang, antara Disember 2013 dan Jun 2017.

Rosmah juga didakwa dengan 5 tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya antara 2013 dan 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan di Jalan Tuanku Abdul Halim antara Mei 2014 dan Mei 2018