NGO sokong i-Suri kepada Orang Asli, minta Jakoa main peranan

Kerajaan bercadang memperluaskan permohonan i-Suri kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli menyambut baik cadangan kerajaan yang mahu memperluaskan kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri kepada masyarakat itu.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, pihaknya menyokong jika apa yang dilakukan kerajaan mendatangkan kebaikan untuk rakyat, sebaliknya akan menentang jika ditindas.

“Kami masyarakat Orang Asli menyambut baik perluasan i-Suri yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat termasuk Orang Asli,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

Mengulas lanjut, Yusri meminta keaktifan Jakoa bagi memastikan i-Suri diberikan kepada semua mereka yang layak tanpa ada yang tercicir.

“Kita minta Jakoa beri kerjasama permudahkan urusan, sebab tidak semua Orang Asli tahu cara untuk membuat permohonan, jadi perlu dibantu,” katanya.

Yusri juga meminta kerajaan menaik taraf rumah untuk masyarakat Orang Asli.

“Kami masyarakat Orang Asli juga ingin menyarankan kepada pihak kerajaan baru, agar memperluaskan pembinaan rumah mesra rakyat atau mampu milik kepada perkampungan Orang Asli tanpa mengenakan syarat pemberimilikan atau geran, cukup dengan pewartaan kerajaan dan pengisytiharan dari mahkamah,” katanya.